Scotland buru tiket awal, Maghribi enggan mengalah

Scotland buru tiket awal, Maghribi enggan mengalah

Ketajaman penyudah John Mcginn menjadi taruhan Scotland ketika berdepan Maghribi, esok.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOSTON: Scotland berpeluang mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati lebih awal dalam aksi kedua Kumpulan C Piala Dunia 2026, esok, namun mereka perlu menewaskan Maghribi antara pasukan paling konsisten di kejohanan itu ketika ini.

Kemenangan 1-0 ke atas Haiti pada aksi pembukaan memberikan suntikan besar buat Scotland yang kembali beraksi di pentas Piala Dunia selepas penantian selama 28 tahun.

Lebih manis, kejayaan tersebut merupakan kemenangan pertama Scotland di Piala Dunia sejak 1990 selain kemenangan pembukaan pertama mereka dalam kejohanan utama sejak 1982, sekali gus menghidupkan harapan untuk mencipta sejarah baharu.

Bagaimanapun, tugas kali ini dijangka jauh lebih mencabar apabila mereka berdepan Maghribi yang mencuri perhatian dunia selepas mengikat gergasi Amerika Selatan, Brazil 1-1 dalam perlawanan pertama kumpulan.

Skuad The Atlas Lions bukan sahaja mempamerkan disiplin bertahan yang tinggi, malah berjaya mengimbangi permainan Brazil menerusi corak permainan yang tersusun dan penuh keyakinan sehingga memaksa juara dunia lima kali itu bekerja keras untuk mengelak kekalahan.

Pengendali Scotland, Steve Clarke mengakui kemenangan ke atas Haiti memberikan sedikit kelegaan kepada pasukannya, namun beliau sedar tahap cabaran yang bakal dihadapi kali ini jauh berbeza.

“Kemenangan pertama itu memberi kami sedikit ruang bernafas. Tekanan tidak lagi sebesar sebelum ini, tetapi kami tahu cabaran sebenar baru bermula.

“Maghribi dan Brazil adalah dua pasukan dalam kelompok terbaik dunia. Jika kami mahu melangkah lebih jauh, kami perlu menghasilkan prestasi yang lebih baik berbanding ketika menentang Haiti,” katanya.

Di kem Maghribi pula, ketua jurulatih Mohamed Ouahbi menganggap keputusan seri menentang Brazil sebagai bukti pasukannya memiliki kemampuan untuk bersaing dengan mana-mana pasukan di pentas dunia.

“Perlawanan menentang Brazil menunjukkan pemain kami mempunyai keberanian dan keyakinan untuk bermain mengikut identiti sendiri.

“Tetapi satu mata tidak menjamin apa-apa. Kami perlu mengekalkan tahap intensiti yang sama kerana Scotland juga mempunyai motivasi besar untuk mencipta sejarah mereka sendiri,” ujarnya.-AGENSI

KAPSYEN: Ketajaman penyudah John Mcginn menjadi taruhan Scotland ketika berdepan Maghribi, esok.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN