KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky menuntut kebangkitan segera daripada pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah selepas aksi hambar mereka di Terbuka Singapura minggu lalu.
Beregu No. 2 dunia itu menerima tamparan besar apabila tersingkir seawal pusingan kedua selepas tewas straight set kepada pasangan Thailand ranking ke-105 dunia, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard.
Kekalahan tersebut dianggap antara keputusan paling mengecewakan buat Pearly-Thinaah musim ini terutama selepas mereka turun selaku antara pilihan utama kejohanan bertaraf Super 750 itu.
Rexy yang menerima laporan harian daripada ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mengakui pasangan negara gagal mempamerkan permainan sebenar selain terlalu banyak melakukan kesilapan mudah.
“Menurut Rosman, Pearly-Thinaah bermain di bawah kemampuan sebenar dan terlalu banyak melakukan kesilapan sendiri.
“Kami harap mereka mampu bangkit semula dan tampil jauh lebih baik pada Terbuka Indonesia minggu depan,” katanya.
Pearly sebelum ini terlepas hampir dua bulan aksi kompetitif akibat kecederaan belakang berulang sehingga memaksa pasangan negara itu menarik diri daripada Malaysia Masters minggu lalu.
Namun laluan di Terbuka Indonesia dilihat agak memihak kepada Pearly-Thinaah apabila dijadual membuka kempen menentang pasangan Kanada, Jackie Dent-Crystal Lai sebelum berpotensi bertemu wakil Taiwan atau Hong Kong di pusingan kedua.
Sekiranya mara lebih jauh, ujian sebenar dijangka hadir di suku akhir apabila mereka berkemungkinan berdepan pasangan adik-beradik Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva atau gandingan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara. – UTUSAN










