Presiden FAM baharu tentukan nasib Harimau Malaya

Presiden FAM baharu tentukan nasib Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden dan Ahli Jawatankuasa (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu perlu membuat keputusan tentang keperluan skuad Harimau Malaya dikembalikan kepada badan induk itu atau tidak.

Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata, segala keputusan terletak kepada barisan kepimpinan baharu yang bakal dipilih pada September ini untuk meneruskan hala tuju badan induk itu.

“Betul, Datuk Seri Windsor (Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia, Seri Seri Windsor Poul) pun ada cakap tentang kembalikan Harimau Malaya (kepada FAM).

“Saya nak sedikit pembetulan, memang ada semua dokumen di bawah (pengurusan) skuad kebangsaan dan kita tahu tentang CEO (Ketua Pegawai Eksekutif, Rob Friend) semua di sana.

“Ini saya rasa salah satu perkara yang perlu diputuskan oleh Presiden baharu dan Exco baharu perlu fikirkan untuk membuat keputusan,” kata Hamidin ketika ditemui pemberita.

Sebelum ini, AFC menerusi audit dalaman yang dilakukan terhadap FAM menyarankan agar pengurusan skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski dikembalikan semula kepada FAM.

Ketika ini, Harimau Malaya diuruskan di bawah satu unit jawatankuasa yang ditubuhkan oleh FAM dan diletakkan di bawah struktur baharu yang diketuai oleh Friend.

Fokus utama jawatankuasa itu ialah pengukuhan pengurusan profesional, pencarian pemain warisan, pembangunan prestasi tinggi serta perluasan rangkaian antarabangsa bagi meningkatkan daya saing Harimau Malaya.

Sebelum ini, skuad kebangsaan terpalit dengan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September tahun lalu mendapati wujud unsur pengubahsuaian atau pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan tujuh pemain ‘warisan’ terbabit.

Susulan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.7 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM9,800) berserta penggantungan selama 12 bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN