MIAMI: Portugal dan Colombia bakal mempertaruhkan segala-galanya dalam aksi terakhir Kumpulan K pagi Ahad ini apabila perebutan gelaran juara kumpulan menjadi keutamaan bagi mengelak bertemu pasukan pilihan seawal pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026.
Colombia yang sudah mengumpul enam mata hanya memerlukan keputusan seri untuk kekal di tangga teratas manakala Portugal wajib menang sekiranya mahu memintas lawan dan menikmati laluan lebih mudah pada pusingan kalah mati.
Pemain sayap Portugal, Pedro Neto mengakui pasukannya sedar mengenai kemungkinan lawan yang bakal dihadapi sekiranya gagal muncul juara kumpulan, namun menegaskan matlamat utama mereka tetap memburu kemenangan.
“Sejujurnya kami ada melihat kemungkinan yang boleh berlaku sekiranya menamatkan saingan di tempat kedua atau ketiga dan saya tidak akan berbohong jika mengatakan kami langsung tidak memikirkannya.
“Namun apa yang paling penting sebagai pemain Portugal ialah mentaliti untuk sentiasa menjadi yang terbaik, sebab itu kami turun menentang Colombia dengan sasaran menamatkan saingan sebagai juara kumpulan,” katanya.
Portugal kembali memperoleh keyakinan selepas membelasah Uzbekistan 5-0 dengan Cristiano Ronaldo menamatkan kemarau 10 perlawanan tanpa gol di kejohanan utama menerusi dua jaringan.
Bagaimanapun, Colombia dijangka memberikan ujian lebih getir kepada skuad kendalian Roberto Martinez menerusi kombinasi pertahanan yang ampuh, corak serangan balas pantas serta keyakinan tinggi selepas dua kemenangan berturut-turut.
Aksi di Stadium Miami itu dijangka berlangsung dalam intensiti tinggi dengan Portugal menguasai permainan, namun Colombia yang hanya memerlukan satu mata pasti berusaha memanfaatkan setiap peluang serangan balas untuk mempertahankan status sebagai juara Kumpulan K. – AGENSI/UTUSAN










