Pilih individu bersih terajui FAM

Pilih individu bersih terajui FAM

FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masa depan bola sepak negara perlu dipacu oleh pemimpin yang bersih, berintegriti dan bebas daripada kontroversi, dalam membawa perubahan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, meskipun pindaan statut yang dicadangkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) diterima secara

sepenuhnya oleh ahli gabungan, isu utama bukan lagi pada perubahan perlembagaan, sebaliknya pemilihan pucuk pimpinan yang bakal menerajui badan induk tersebut.

“Sekarang bukan soal statut semata-mata, tetapi siapa yang akan dipilih. Itu paling penting,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau menegaskan, ruang pemilihan yang ada ketika ini dilihat agak terhad, namun ahli gabungan FAM perlu berani membuat perubahan dengan memberi peluang kepada calon baharu yang lebih bersih dan tidak terpalit dengan sebarang kontroversi.

Katanya, pemimpin lama yang mempunyai rekod dipersoalkan tidak wajar terus dikitar semula sekiranya bola sepak negara benar-benar mahu melakukan reformasi menyeluruh.

“Pilihlah di kalangan mereka yang bersih, yang bekerja dan tidak terpalit dengan pelbagai isu. Jangan ulang pemimpin yang sama dengan kontroversi lama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepimpinan dalam badan bola sepak perlu dibina dari bawah dengan sokongan ekosistem pentadbiran yang cekap, selain memberi ruang kepada bakat baharu untuk menyerlah.

“Pemimpin boleh dibentuk, tetapi mesti ada sokongan sistem dan pasukan yang kuat di sekelilingnya,” ujarnya.

Beliau menambah, perkara itu juga penting bagi memastikan aspek integriti, pemantauan dan struktur pentadbiran berjalan secara lebih tersusun serta selaras dengan standard antarabangsa.

“Yang penting bukan siapa mengurus, tetapi bagaimana akauntabiliti itu ditegakkan,” tegasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN