GUADALAJARA, Mexico: Aksi pembukaan Piala Dunia 2026 bakal menyaksikan pertembungan menarik melibatkan gergasi Asia, Korea Selatan bertemu wakil Eropah Republik Czech dalam aksi pertama Kumpulan A.
Bagi Korea Selatan, perlawanan ini bukan sekadar memburu tiga mata, malah menjadi medan untuk membuktikan mereka masih antara kuasa utama Asia yang mampu mencabar pasukan Eropah di pentas terbesar dunia.
Republik Czech pula hadir dengan status pasukan ‘underdog’ selepas kembali ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 2006.
Tumpuan pastinya terarah kepada kapten Korea Selatan, Son Heung-min yang bakal membuat penampilan keempat di Piala Dunia.
Walaupun prestasi jaringannya bersama kelab sedikit merosot musim ini, Heung-Min kekal menjadi senjata utama skuad kendalian Hong Myung-bo menerusi pengalaman, kepimpinan dan keupayaan menghasilkan magis pada saat penting.
Heung-min mengakui perlawanan pertama adalah sukar untuk mana-mana pasukan dan tentu sekali kemenangan menjadi sasaran utama.
“Aksi pertama memang sukar tapi kami sudah bersedia untuk itu. Kemenangan pertama memang penting dan kami bekerja ke arah itu.
“Semua pemain memberi komitmen tinggi dan sesi latihan, kami sudah tidak sabar untuk bermain di Piala Dunia,” katanya.
Dalam perkembangan sama pemain tengah Korea Selatan, Bae Jun Ho dijangka terlepas aksi pembukaan itu kerana masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan buku lali yang dialami ketika kemenangan 5-0 ke atas Trinidad and Tobago, 10 hari lalu.
Perancang berusia 22 tahun yang beraksi bersama Stoke City itu terlepas beraksi ketika kemenangan 1-0 Korea Selatan ke atas El Salvador pada Khamis lalu dan hanya menjalani latihan secara berasingan dalam usaha memastikan dirinya cergas.
Republik Czech pula mempertaruhkan ketajaman penyerang Bayer Leverkusen, Patrik Schick yang dijangka menjadi ancaman terbesar kepada benteng Korea Selatan. Schick akan dibantu kapten berpengaruh, Tomáš Soucek serta pemain serangan versatil, Adam Hložek.
Pengendali Republik Czech, Miroslav Koubek sebelum kejohanan menegaskan pasukannya tidak datang sekadar untuk melengkapkan jadual pertandingan, sebaliknya mahu memanfaatkan peluang terbaik selepas menunggu 20 tahun untuk kembali ke Piala Dunia.
“Di atas kertas, Korea Selatan memiliki kelebihan dari segi pengalaman Piala Dunia dan kualiti individu tapi kali ini kami hadir dengan rekod enam kemenangan berturut-turut.
“Kami akan kekalkan corak permainan kami dan memberi aksi terbaik untuk memenangi perlawanan,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN










