FOXBOROUGH: Pengendali Maghribi, Mohamed Ouahbi menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas Scotland dalam aksi Kumpulan C Piala Dunia 2026 sebagai persembahan terbaik pasukannya setakat ini meskipun hanya meraih satu gol di Foxborough, semalam.
Jaringan Ismael Saibari seawal 71 saat sudah memadai untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat wakil Afrika itu sekali gus meletakkan mereka di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati.
Ouahbi berkata, kemenangan tersebut membuktikan anak buahnya semakin berkembang selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika mengikat Brazil 1-1 dalam perlawanan pembukaan minggu lalu.
“Kami mengawal keseluruhan permainan dan dari segi keberkesanan, saya melihat aksi ini sebenarnya lebih baik berbanding perlawanan pertama.
“Saya melihatnya sebagai satu peningkatan berbanding perlawanan pertama, jadi kami gembira dengan keputusan ini kerana sasaran utama kami adalah mendapatkan tiga mata,” katanya.
Menurut beliau, Maghribi berjaya menguasai perlawanan sebelum terpaksa bertahan pada penghujung aksi apabila Scotland meningkatkan tekanan.
“Saya percaya kami mengawal permainan tetapi apabila gagal mendapatkan gol kedua, sudah tentu kami perlu bertahan kerana Scotland bermain dengan sangat intensif menggunakan hantaran jauh,” katanya.
Dalam pada itu, Ouahbi turut mempertahankan kapten pasukan, Achraf Hakimi yang menjadi sasaran cemuhan penyokong susulan keputusan mahkamah rayuan Perancis yang mengesahkan pemain itu akan dibicarakan atas tuduhan rogol yang dinafikannya. – AGENSI/UTUSAN










