FOXBOROUGH: Jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas Scotland pada aksi Kumpulan C Piala Dunia 2026 sebagai persembahan terbaik pasukannya setakat ini, malah lebih meyakinkan berbanding ketika mengikat Brazil 1-1 pada perlawanan pembukaan.
Maghribi hanya memerlukan 71 saat untuk memecah kebuntuan menerusi Ismael Saibari yang meledak gol terpantas kejohanan setakat ini sebelum benteng The Atlas Lions bertahan kental sehingga wisel penamat.
“Kami mengawal keseluruhan perlawanan dan dari segi keberkesanan, saya melihat aksi ini lebih baik berbanding perlawanan pertama.
“Saya anggap ini satu peningkatan. Kami mahukan tiga mata dan kami berjaya mendapatkannya. Itu objektif utama kami,” kata Ouahbi.
Maghribi sebelum ini mencuri tumpuan apabila berjaya mengikat Brazil 1-1 di New York/New Jersey hujung minggu lalu.
Menurut Ouahbi, pasukannya sepatutnya mampu menambah jaringan, namun tetap berpuas hati dengan disiplin yang ditunjukkan pemain ketika bertahan daripada asakan Scotland.
“Kami mengawal permainan, tetapi apabila gagal menjaringkan gol kedua, sudah tentu kami perlu bertahan kerana Scotland bermain dengan sangat intensif menggunakan hantaran jauh.
“Namun, saya tidak boleh lebih gembira daripada apa yang ditunjukkan oleh pasukan,” ujarnya.
Perlawanan itu turut menyaksikan kapten Maghribi, Achraf Hakimi menjadi sasaran ejekan penyokong setiap kali menyentuh bola susulan keputusan mahkamah rayuan Perancis yang mengesahkan dia akan dibicarakan dalam kes dakwaan rogol.
Pemain berusia 27 tahun yang beraksi bersama Paris Saint-Germain itu bagaimanapun menafikan segala tuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Ouahbi enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, sebaliknya memuji ketenangan Hakimi yang tetap mempamerkan aksi cemerlang.
“Hakimi amat luar biasa. Dia mempamerkan permainan yang sangat mantap, jadi kami tenang dan dia sendiri juga amat tenang,” katanya.
Kemenangan itu meletakkan Maghribi dalam kedudukan terbaik untuk mara ke pusingan 32 terbaik, namun Ouahbi menegaskan beliau tidak akan mengambil mudah aksi terakhir kumpulan menentang Haiti di Atlanta minggu depan.
“Objektif kami adalah untuk memenangi perlawanan itu dan berharap dapat menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.
“Jadi saya akan menurunkan pasukan terbaik yang mampu saya pilih berdasarkan tahap kecergasan fizikal pemain,” katanya.-AGENSI










