PHILADELPHIA: Juara lima kali dunia, Brazil terus mengorak langkah bergaya apabila menewaskan Haiti 3-0 pada aksi Piala Dunia sebentar tadi, sekali gus merampas kedudukan teratas Kumpulan C dengan mengumpul empat mata.
Penyerang sensasi, Matheus Cunha muncul wira skuad Samba apabila meledak dua gol, manakala Vinicius Jr turut mencatat nama selaku penjaring untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik anak buah Carlo Ancelotti.
Kekalahan itu turut menyaksikan Haiti menjadi pasukan pertama tersingkir daripada perebutan tempat ke pusingan kalah mati.
Sementara itu, Maghribi yang menewaskan Scotland 1-0 dalam satu lagi aksi kumpulan turut mengumpul empat mata, manakala Scotland kekal di tangga ketiga dengan tiga mata.
Brazil membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi Cunha dalam situasi agak bernasib baik apabila percubaan Vinicius ditepis penjaga gol Haiti, Johny Placide sebelum percubaan mengeluarkan bola oleh Hannes Delcroix terkena Cunha dan melintasi garisan gol.
Cunha kemudian menggandakan kelebihan Brazil pada minit ke-36 apabila bijak meluru menyambut hantaran Vinicius sebelum melepaskan rembatan deras ke penjuru atas gawang.
Vinicius melengkapkan malam gemilang Brazil apabila menjadikan kedudukan 3-0 pada masa kecederaan babak pertama hasil penyudah tenang selepas menerima hantaran jauh daripada Lucas Paqueta.
Memasuki babak kedua, Brazil memperlahankan rentak permainan dengan benteng pertahanan mereka tampil ampuh, sekali gus menyaksikan penjaga gol Alisson Becker hampir tidak diuji.
Keputusan itu sudah memadai buat Brazil untuk mengesahkan kemenangan selesa dan mengukuhkan cengkaman di puncak Kumpulan C.-AGENSI










