Tunisia pertaruh sentuhan Renard buru talian hayat

Tunisia pertaruh sentuhan Renard buru talian hayat

Herve Renard (tengah) mengendalikan latihan pemain Tunisia menjelang pertemuan menentang Jepun, esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTERREY: Tunisia mempertaruhkan sentuhan segera jurulatih baharu, Herve Renard bagi menghidupkan peluang mereka dalam saingan Kumpulan F berdepan Jepun di Monterrey, esok.

Pasukan Afrika Utara itu berada dalam situasi terdesak selepas dibelasah Sweden 1-5 pada aksi pembukaan, sekali gus menyaksikan bekas jurulatih, Sabri Lamouchi, dipecat.

Renard yang baru dilantik terpaksa menggalas tugas berat untuk memperkemaskan benteng pertahanan Tunisia yang rapuh selain memastikan pasukannya tidak lagi tercicir mata.

“Saya amat memahami kualiti pasukan ini. Jepun adalah pasukan terbaik di Asia,” kata jurulatih dari Perancis itu.

Jepun pula hadir dengan keyakinan tinggi selepas bangkit dua kali sebelum mengikat Belanda 2-2 dalam aksi pertama mereka di Dallas.

Gol penyamaan lewat permainan oleh Daichi Kamada pada minit ke-88 menyerlahkan semangat juang tinggi skuad kendalian Hajime Moriyasu, sekali gus sesuatu yang pastinya merisaukan Tunisia.

“Kami ketinggalan kepada lawan yang sangat sukar, tetapi pemain kekal bersatu, berjuang hingga wisel penamat dan tidak pernah berputus asa,” kata Moriyasu.

Bagaimanapun, pengendali Jepun itu mengakui pasukannya sedikit kecewa kerana gagal memanfaatkan peluang untuk meraih kemenangan ke atas Belanda. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN