TORONTO: Skuad Jerman berwaspada terhadap ancaman pemain muda Ivory Coast, Yan Diomande menjelang aksi kedua Kumpulan E Piala Dunia 2026 di Toronto, esok.
Pemain sayap berusia 19 tahun itu muncul ancaman terbesar buat juara dunia empat kali itu selepas mempamerkan persembahan cemerlang dalam saingan Bundesliga bersama RB Leipzig dengan meledak 12 gol dan lapan bantuan jaringan dalam musim sulungnya di Jerman.
Kapten Jerman, Joshua Kimmich mengakui Diomande berada pada tahap berbeza berbanding setahun lalu.
“Setahun lalu hampir tiada siapa mengenalinya, tetapi sekarang dia antara pemain paling berbahaya.
“Dia mempunyai kemahiran gelecek luar biasa, pecutan yang ekstrem dan kelajuan yang menakjubkan. Dia pemain yang sangat bagus,” katanya.
Jerman yang membelasah Curacao 7-1 dalam aksi pembukaan kini memburu kemenangan kedua untuk mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2014.
Namun, mereka sedar tugas itu tidak mudah apabila berdepan Ivory Coast yang turut mengutip tiga mata selepas menewaskan Ecuador 1-0 menerusi gol lewat permainan.
Pertahanan Jerman, Antonio Rudiger turut mengakui pasukannya perlu memberi perhatian khusus kepada Diomande.
“Kami perlu mengawasinya dengan teliti. Selain Diomande, mereka juga ada Nicolas Pepe dan Amad Diallo.
“Mereka seperti kereta api ekspres. Mereka gemar situasi satu lawan satu dan serangan balas pantas,” katanya.
Dalam pada itu, Diomande yang kini cemerlang bersama kelab dan negaranya enggan dibuai kemasyhuran.
“Saya mahu menjadi antara yang terbaik, tetapi saya mahu melangkah perlahan-lahan, setapak demi setapak untuk mencapai apa yang saya impikan,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










