HOUSTON: Sweden berpeluang mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati lebih awal jika menewaskan Belanda dalam aksi kedua Kumpulan F Piala Dunia 2026 di Houston, esok.
Skuad bimbingan Graham Potter itu hadir dengan keyakinan tinggi selepas membelasah Tunisia 5-1 pada aksi pembukaan, sekali gus mencatat kemenangan terbesar mereka di pentas Piala Dunia dalam tempoh 88 tahun.
Kemenangan tersebut turut menjadi petanda kebangkitan Sweden yang sebelum ini terpaksa melalui laluan sukar menerusi playoff Eropah untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu.
Sebaliknya, Belanda masih bergelut selepas seri 2-2 dengan Jepun dalam aksi pertama, keputusan yang mengundang persoalan terhadap pendekatan taktikal jurulatih Ronald Koeman.
Koeman dikritik kerana memilih corak permainan lebih bertahan pada penghujung perlawanan sehingga menyaksikan pasukannya dibolosi gol penyamaan pada minit ke-89.
The Oranje masih memiliki senjata berbisa menerusi Cody Gakpo, Frenkie de Jong dan Denzel Dumfries, namun tumpuan turut terarah kepada Memphis Depay yang baru pulih kecederaan.
“Memphis hampir bersedia. Saya dapat merasakan dia semakin cergas, tetapi kami gagal menyerang dengan baik ketika dia dimasukkan.Saya sedar kami perlu bermain dengan lebih baik,” kata Koeman.
Sementara itu, Potter dijangka terus mempertaruhkan gandingan Alexander Isak dan Viktor Gyokeres yang masing-masing menemui sasaran ketika menentang Tunisia.
Kedua-dua penyerang itu bakal menjadi ancaman utama buat benteng Belanda yang diketuai Virgil van Dijk, yang meskipun menjaringkan gol ketika menentang Jepun, masih dilihat belum berada pada tahap terbaik. – AGENSI/UTUSAN










