New Zealand berdepan misi wajib menang bertemu Belgium

New Zealand berdepan misi wajib menang bertemu Belgium

Darren Bazeley
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Jurulatih New Zealand, Darren Bazeley mengakui kecewa dengan aksi hambar pasukannya pada separuh masa kedua selepas tewas 1-3 kepada Mesir dalam saingan Kumpulan G Piala Dunia 2026 di Stadium BC Place, semalam.

Kekalahan itu menyaksikan New Zealand kini berada dalam kedudukan sukar apabila perlu menewaskan Belgium pada perlawanan terakhir kumpulan bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati.

Menurut Bazeley, pasukannya mempamerkan persembahan cemerlang pada babak pertama dengan menguasai permainan serta mencipta beberapa peluang berbahaya, namun gagal mengekalkan momentum selepas rehat.

“Kami bermain sangat baik pada separuh masa pertama. Kami menjaringkan gol yang hebat, mencipta banyak peluang dan menguasai permainan. Namun, kami gagal mengulangi rentak sama pada separuh masa kedua.

“Ia sangat mengecewakan kerana kami berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih kemenangan,” katanya.

New Zealand terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan pertahanan, Finn Surman pada minit ke-15.

Bagaimanapun, Mesir yang tampil lebih agresif selepas rehat berjaya bangkit apabila Mostafa Zico menyamakan kedudukan sebelum bintang mereka, Mohamed Salah meledak gol kedua.

Mahmoud Trezeguet kemudian melengkapkan kemenangan Mesir menerusi gol ketiga sekali gus memastikan tiga mata berharga buat pasukan dari benua Afrika itu.

Bazeley mengakui kualiti pemain Mesir, khususnya Salah, menjadi faktor utama kebangkitan lawan pada separuh masa kedua.

“Mereka mempunyai pemain berkualiti tinggi. Salah menjaringkan gol yang sering kita lihat daripadanya selama bertahun-tahun, namun saya fikir kami berjaya mengekangnya dengan baik untuk sebahagian besar perlawanan,” katanya.

Sementara itu, penyerang New Zealand, Elijah Just menegaskan pasukannya tidak akan memandang rendah Belgium selepas mencatat dua keputusan seri.

“Kami tahu Belgium adalah pasukan pilihan dalam kumpulan ini. Keputusan seri yang mereka catatkan tidak mengubah hakikat bahawa mereka sebuah pasukan yang sangat kuat.

“Mereka juga memerlukan kemenangan untuk layak, jadi kami menjangkakan satu perlawanan yang cukup sengit,” katanya.

Mesir kini mendahului Kumpulan G dengan empat mata hasil satu kemenangan dan satu keputusan seri, manakala Belgium serta Iran masing-masing mengumpul dua mata. New Zealand pula menghuni tangga tercorot dengan satu mata. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN