QUITO, Ecuador: Fenomena menamakan anak sempena bintang bola sepak dunia terus menjadi trend di beberapa negara Amerika Selatan menjelang Piala Dunia apabila nama pemain seperti Neymar, Kylian Mbappe dan Lionel Messi menjadi pilihan utama.
Di Ecuador, misalnya, nama penyerang Brazil, Neymar kekal menjadi pilihan utama ibu bapa dengan 3,847 kanak-kanak dinamakan sempena bintang itu, menurut data daftar sivil negara berkenaan.
Ini mengatasi nama Mbappe yang merekodkan lebih 2,800 pendaftaran manakala James Rodriguez berada di tempat ketiga dengan 2,136 nama.
Legenda bola sepak dunia seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo turut tidak terkecuali apabila masing-masing mencatatkan 1,549 dan 1,006 pendaftaran di Ecuador, selain variasi ejaan seperti Cristiano dan Ronaldo yang turut digunakan secara meluas.
Di Colombia pula, trend yang sama dapat dilihat apabila nama Kylian atau Mbappe mendahului pilihan ibu bapa dengan 836 nama, diikuti Neymar (269) serta Cristiano atau Ronaldo (220), berdasarkan data pada 2022.
Sementara itu di Brazil, negara kelahiran Neymar, sebanyak 2,443 kanak-kanak dinamakan sempena pemain tersebut, menjadikannya antara nama paling popular dalam kalangan generasi baharu namun, nama Kylian atau Killian turut mencatatkan lebih 400 penggunaan.
Di Argentina, nama Lionel pernah mencatat peningkatan ketara pada 2023 selepas kejayaan Messi membawa negara itu menjuarai Piala Dunia, namun trend tersebut dilaporkan mula menurun.
Fenomena unik itu turut berlaku di Chile apabila sebuah keluarga menjadi tumpuan media selepas menamakan bayi mereka Griezmann Mbappe, gabungan dua bintang bola sepak Perancis.
Adik-beradik bayi tersebut turut diberikan nama berunsur bola sepak seperti James Modric dan Leonel Messi. – AFP










