Moriyasu puji semangat juang anak buah

Moriyasu puji semangat juang anak buah

Hajime Moriyasu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS: Ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu menghamburkan pujian kepada pemainnya apabila berjaya bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 2-2 menentang Belanda dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia di Stadium Dallas, semalam.

Bagaimanapun, Moriyasu mengakui dia kecewa kerana Jepun gagal membawa pulang tiga mata penuh meskipun mempamerkan persembahan bertenaga dalam perlawanan yang penuh mendebarkan itu.

Belanda terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal enam minit selepas separuh masa kedua apabila kapten mereka, Virgil van Dijk menanduk masuk hantaran Ryan Gravenberch untuk meletakkan pasukan Eropah itu di hadapan.

Namun Jepun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Keito Nakamura melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol lawan.

Perlawanan terus rancak apabila Crysencio Summerville kembali meletakkan Belanda di hadapan dengan jaringan menarik yang terkena tiang sebelum menerjah gawang, sebelum Koki Ogawa memastikan Jepun kembali menyamakan kedudukan menerusi tandukan kemas hasil umpanan Daichi Kamada dua minit sebelum tamat permainan.

Moriyasu berkata, meskipun pasukannya diasak hebat, pemain tetap menunjukkan disiplin tinggi dan tidak berputus asa untuk kembali mengimbangi permainan.

“Belanda pasukan yang sangat kuat, kami ketinggalan, namun pemain bersatu sebagai satu pasukan, sangat gigih dan terus berjuang hingga ke wisel penamat.

“Sudah tentu kami tidak berpuas hati dengan hanya satu mata kerana sasaran kami adalah untuk meraih tiga mata,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Moriyasu turut menegaskan Jepun tidak pernah menjadikan keputusan seri sebagai sasaran utama, sebaliknya yakin pasukannya mampu mencipta kemenangan walaupun ketinggalan.

“Pemain kekal tenang, sabar dan mencari peluang sehingga berjaya kembali mengimbangi permainan. Saya amat berbangga dengan usaha mereka,” katanya.

Selepas ini, Jepun akan menentang Tunisia di Monterrey pada 20 Jun. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN