KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mahu melihat kombinasi pasangan baharu khususnya gandingan Aaron Chia-Aaron Tai mampu memberi impak selepas ini.
Pengendali kelahiran Indonesia itu berkata, antara fokus utama rombakan kali ini adalah untuk melihat potensi gandingan baharu termasuk kombinasi sementara melibatkan ‘dua Aaron’.
“Saya percaya mereka mampu memberikan impak sekiranya kedua-dua pemain itu memiliki mentaliti untuk terus bersaing di tahap tertinggi. Bagi saya, kita mahu lihat gandingan ini. Contohnya jika mereka boleh menang di Terbuka China.
“Kita pernah lihat dahulu pasangan seperti Tan Boon Heong dan Koo Kien Keat, terus masuk final dan kemudian jadi juara. Jadi mentaliti pemain-pemain ini harus begitu,” katanya kepada pemberita di ABM di sini, semalam.
Tegas Rexy, rombakan beregu lelaki negara bukan dilakukan sekadar untuk memberi nafas baharu, sebaliknya demi melahirkan lebih banyak pasangan berstatus pencabar pingat emas Olimpik.
Menurutnya, keputusan memecahkan gandingan sedia ada termasuk pasangan utama negara, Aaron dan Soh Wooi Yik dibuat selepas melihat prestasi semasa yang dianggap semakin tidak konsisten.
Katanya, skuad negara tidak boleh terus berada dalam zon selesa kerana keputusan beberapa kejohanan kebelakangan ini membuktikan Malaysia memerlukan perubahan segera.
“Segala sesuatu yang terlalu selesa tidak bermakna anda akan dapat keputusan lebih baik. Apa sahaja yang kita lakukan memang ada risiko.
“Kita lihat dalam beberapa kejohanan terakhir, Aaron dan Wooi Yik kalah mudah kepada pemain muda Indonesia. Jadi saya rasa kita perlu lakukan sesuatu,” ujarnya. – UTUSAN










