McGinn yakin Scotland mampu mara ke pusingan kalah mati

McGinn yakin Scotland mampu mara ke pusingan kalah mati

John McGinn muncul wira ketika Scotland menewaskan Haiti 1-0.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FOXBOROUGH: Wira kemenangan Scotland, John McGinn, percaya pasukannya mampu melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah selepas memulakan kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Haiti, hari ini.

Jaringan pemain tengah Aston Villa itu pada separuh masa pertama di Boston, hasil rembatan yang terkena pemain lawan sebelum menerjah gawang, sudah memadai untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat Scotland dalam aksi pembukaan Kumpulan C.

Bagaimanapun, Scotland terpaksa bertahan habis-habisan pada penghujung perlawanan apabila Haiti meningkatkan tekanan dalam usaha mencari gol penyamaan.

“Perlawanan ini sangat penting. Inilah perlawanan yang memberi tekanan kepada kami kerana kami dianggap pilihan untuk menang. Haiti adalah lawan yang sangat sukar.

“Mereka mempunyai banyak kelebihan unik yang jarang kami hadapi. Jadi perkara paling penting malam ini ialah mencatatkan rekod tanpa bolos dan memperoleh tiga mata, dan kami berjaya melakukannya.

“Bolehkah kami bermain lebih baik? Sudah tentu. Tetapi kemenangan ini cukup hebat dan kami akan menghadapi Brazil serta Maghribi dengan keyakinan yang lebih tinggi. Hakikat bahawa Scotland kembali menang di Piala Dunia adalah perkara paling utama malam ini,” kata McGinn yang menamatkan kemarau lebih 18 bulan tanpa gol bersama skuad kebangsaan.

Scotland tampil di pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998, ketika mereka tersingkir di peringkat kumpulan selepas tewas kepada Brazil dan Maghribi.

Kemenangan ke atas Haiti itu juga merupakan kemenangan pertama Scotland di mana-mana kejohanan utama sejak 1996 serta kemenangan pertama mereka di Piala Dunia sejak menewaskan Sweden pada edisi 1990 di Itali.

Ini merupakan penampilan kesembilan Scotland di Piala Dunia, namun hanya kemenangan kelima mereka daripada 24 perlawanan dalam kejohanan itu.

Keputusan tersebut meletakkan Scotland dalam kedudukan terbaik untuk mara ke pusingan 32 terbaik, lebih-lebih lagi apabila lapan pasukan tempat ketiga terbaik turut layak ke pusingan seterusnya.

Satu mata daripada dua baki perlawanan menentang Morocco di Boston pada Jumaat dan Brazil di Miami pada 24 Jun dijangka cukup untuk memastikan kelayakan.

“Kami akan bertemu dua pasukan yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia. Kami tahu kualiti yang mereka miliki, tetapi kami juga mampu menyusahkan mereka seperti mana Haiti menyusahkan kami,” kata McGinn mengenai Maghribi dan Brazil yang seri 1-1 dalam satu lagi aksi kumpulan.

“Mungkin ia lebih sesuai untuk kami bermain secara serangan balas dan menyukarkan mereka.

“Kami tahu satu atau tiga mata lagi boleh membawa kami ke wilayah yang belum pernah diterokai sebelum ini dan kami sedar apa yang dipertaruhkan.”

Scotland sebenarnya hampir menambah jaringan apabila Scott McTominay terkena tiang gol sebelum jaringan McGinn, namun Haiti lebih banyak mencipta percubaan sepanjang perlawanan.

Penyerang Haiti, Frantzdy Pierrot, hampir menyamakan kedudukan pada penghujung aksi tetapi percubaannya gagal menemui sasaran.

Sementara itu, jurulatih Haiti, Sebastien Migne, tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya dan percaya mereka masih mampu memberi cabaran kepada dua lawan seterusnya.

“Saya amat bangga dengan para pemain dan cara kami beraksi. Saya harap kami dapat membina keyakinan daripada persembahan ini dan terus mempamerkan aksi yang baik,” kata jurulatih dari Perancis itu.

Haiti membuat penampilan pertama di Piala Dunia sejak 1974 dan bakal berdepan tugas sukar menentang Brazil dalam tempoh lima hari lagi.

“Sudah tentu ia mengecewakan untuk kalah, tetapi kini kami berdepan cabaran besar bernama Brazil.

“Ia satu kesempatan berprestij, dan apabila anda sudah 52 tahun tidak beraksi di pentas ini, anda perlu menikmatinya,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN