PETALING JAYA: Pengendali skuad hoki bawah 18 (B-18) negara, Mohd Harfizi baharom tidak berpuas hati dengan prestasi anak buahnya biarpun berjaya mara ke separuh akhir Piala Asia B-18 di Kakamigahara, Jepun, semalam.
Malaysia mara ke separuh akhir selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas China dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Mohd Harfizi mengakui, dia perlu segera perbaiki kelemahan pasukan dengan menggunakan tempoh rehat yang ada bagi menghadapi sama ada India, Korea Selatan atau Jepun untuk memburu tiket ke pentas akhir pada Jumaat ini.
“Kita akan gunakan tempoh masa rehat dua hari ini dan kembali ke padang latihan untuk melihat apa yang perlu diperbaiki oleh pasukan untuk aksi separuh akhir nanti,” kata Harfizi.
Dalam aksi menentang China, Malaysia terpaksa menanti pada minit ke-41 untuk mendapatkan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti Dheeressh Gunaseelan sebelum Ahmad Idham Fikri menggandakan jaringan tiga minit kemudian.
Gol ketiga pasukan negara dihasilkan oleh Harieq Hadief Mohd Fariq ketika permainanan berbaki tiga minit.
Mengulas lanjut, Harfizi berkata, motivasi pemainnya berada di tahap tertinggi dalam aksi tersebut memandangkan hanya kemenangan sahaja menjanjikan slot ke separuh akhir kejohanan.
“Pemain tahu tanggungjawab masing-masing dalam padang untuk memenangi perlawanan ini dan alhamdulillah mereka dapat lakukannya dengan baik jadi, itu semua hasil kerja keras pemain dengan motivasi yang tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa skuad B-18 wanita negara apabila anak buah Siti Amarina Ruhani itu tumpas 0-1 kepada Korea Selatan, sekali gus menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketiga.
Mereka akan beraksi dalam aksi penentuan kedudukan kelima hingga kelapan yang diadakan esok.-UTUSAN










