Kane dedah rahsia kebangkitan England

Kane dedah rahsia kebangkitan England

JUDE Bellingham (tengah) bersama Harry Kane (kiri) dan Noni Madueke (kanan) meraikan gol ketiga England ketika menewaskan Croatia 4-2 dalam aksi pertama Kumpulan L, Piala Dunia 2026 di Stadium Dallas, semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALLAS: Harry Kane mendedahkan ucapan ringkas ketua jurulatih, Thomas Tuchel ketika rehat menjadi pencetus kebangkitan England untuk menewaskan Croatia 4-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan L Piala Dunia 2026, semalam.

Kapten England itu meledak dua gol ketika The Three Lions memulakan kempen memburu trofi utama pertama dalam tempoh 60 tahun dengan tiga mata berharga.

Bagaimanapun, kemenangan tersebut tidak hadir dengan mudah apabila Croatia dua kali bangkit menyamakan kedudukan menerusi Martin Baturina dan Petar Musa selepas Kane terlebih dahulu meletakkan England di depan.

Kedudukan terikat 2-2 pada penghujung separuh masa pertama memaksa Tuchel mencari jalan untuk mengembalikan fokus anak buahnya yang mula kehilangan rentak permainan.

Kane berkata, pengendali dari Jerman itu memberikan peringatan tegas kepada pemain bahawa mereka perlu kembali kepada identiti sebenar pasukan jika mahu mengelak kekecewaan.

“Jurulatih memberikan ucapan kepada kami ketika rehat hanya untuk berkata, jika kami kalah, kami kalah, tetapi kami sedang kehilangan arah permainan.

“Dan saya fikir semua orang dapat melihat perubahan kami apabila keluar semula pada separuh masa kedua,” katanya.

Menurut Kane, England tampil dengan pendekatan lebih agresif selepas rehat sehingga berjaya menguasai permainan dan memaksa Croatia bertahan hampir sepanjang babak kedua.

“Kami bermain habis-habisan. Dan mereka langsung tidak mampu menanganinya,” katanya.

Jude Bellingham serta Marcus Rashford kemudian melengkapkan kebangkitan England untuk memastikan skuad bimbingan Tuchel memulakan saingan dengan kemenangan yang mampu meningkatkan keyakinan menjelang aksi seterusnya.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN