Jepun semakin matang

Jepun semakin matang

Pemain Jepun menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Brazil dalam saingan kalah mati selepas ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALLAS: Jepun bertekad mencipta satu lagi kejutan besar apabila berdepan gergasi Amerika Selatan, Brazil dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium NRG, Houston, awal pagi Selasa.

Skuad Samurai Biru hadir dengan keyakinan tinggi selepas pernah mengejutkan Brazil 3-2 dalam aksi persahabatan di Tokyo pada Oktober tahun lalu, sekali gus mencatat kemenangan pertama mereka ke atas juara dunia lima kali itu.

Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu berkata, kemenangan tersebut membuktikan pasukannya kini berada di landasan tepat untuk bersaing dengan kuasa besar dunia dan tidak akan turun sebagai pasukan belasahan.

“Kami sudah buktikan kepada Brazil sebelum ini bahawa kami bukan pasukan yang mudah ditewaskan. Itu menunjukkan perkembangan besar bola sepak Jepun.

“Brazil adalah antara pasukan terbaik dunia dan kami amat menghormati mereka. Dalam perlawanan nanti, apa sahaja boleh berlaku dan kami juga mempunyai peluang untuk menang,” kata Moriyasu.

Jepun mara ke pusingan kalah mati selaku naib juara Kumpulan F selepas mengumpul lima mata hasil kemenangan ke atas Tunisia serta keputusan seri menentang Belanda dan Sweden.

Walaupun gagal menamatkan saingan sebagai juara kumpulan, disiplin taktikal dan semangat juang tinggi yang dipamerkan menjadikan mereka antara pasukan yang sukar dijangka dalam kejohanan kali ini.

“Kami dibolosi dan itulah lumrah bola sepak. Selepas itu kami membuat beberapa perubahan untuk mempertahankan keputusan kerana satu mata sudah memadai untuk memastikan tempat ke pusingan seterusnya.

Itulah sasaran kami sejak awal kejohanan dan pencapaian ini membuktikan perkembangan bola sepak Jepun,” katanya.

Sementara itu, Brazil yang turun dengan status antara pasukan pilihan kejohanan selepas menjuarai Kumpulan E dengan rekod cemerlang dilihat memiliki keseimbangan sempurna antara pemain muda dan berpengalaman.

Pengendalinya, Carlo Ancelotti, bagaimanapun enggan memandang rendah kemampuan Jepun, terutama selepas pasukan Asia itu membuktikan keupayaan mereka menewaskan Brazil sebelum ini.

“Jepun adalah pasukan yang sangat teratur, pantas dan berdisiplin. Mereka telah menunjukkan kemampuan sebenar di pentas antarabangsa.

“Kami menghormati mereka, tetapi fokus kami adalah untuk mempamerkan permainan terbaik dan memastikan Brazil mara ke pusingan seterusnya,” kata Ancelotti.

Pertembungan ini dijangka menyajikan aksi sengit antara kreativiti jentera serangan Brazil yang diketuai Vinicius Junior dan Rodrygo dengan organisasi permainan kemas Jepun yang sering mengutamakan disiplin taktikal serta kepantasan serangan balas. – AGENSI/UTUSAN

FAKTA MENARIK
Jepun mencatat kemenangan pertama ke atas juara dunia lima kali itu, Brazil 3-2 dalam aksi persahabatan di Tokyo pada Oktober tahun lalu.

KESEBELASAN UTAMA

BRAZIL

Formasi: 4-3-3

Jurulatih: Carlo Ancelotti

Penjaga gol: Alisson Becker

Pertahanan:
Danilo
Marquinhos
Gabriel Magalhaes
Douglas Santos

Tengah:
Bruno Guimaraes
Casemiro
Lucas Paqueta

Penyerang:
Neymar
Matheus Cunha
Vinicius Junior

PEMAIN TUMPUAN

Vinicius Junior

Bintang Real Madrid itu menjadi senjata utama Brazil menerusi kepantasan, kemahiran satu lawan satu dan keupayaannya mencipta peluang serta jaringan dalam situasi sukar.

JEPUN

Formasi: 3-4-2-1

Jurulatih: Hajime Moriyasu

Penjaga gol: Zion Suzuki

Pertahanan

Takehiro Tomiyasu
Ko Itakura
Hiroki Ito

Tengah

Ritsu Doan
Kodai Sano
Ao Tanaka
Keito Nakamura

Tengah serangan

Junya Ito
Daichi Kamada

Penyerang

Ayase Ueda

Pemain tumpuan:

Daichi Kamada

Hajime Moriyasu dijangka mengekalkan sebahagian besar kesebelasan yang digunakan ketika menentang Tunisia dan Sweden, dengan Kamada serta Ueda menjadi tunjang utama serangan Samurai Biru. Takefusa Kubo pula masih dibelenggu masalah kecergasan sebelum aksi menentang Sweden.

REKOD PERTEMUAN

Brazil menang: 11

Seri: 2

Jepun menang: 1

Pertemuan terakhir: Jepun menewaskan Brazil 3-2 dalam aksi persahabatan di Tokyo pada Oktober 2025, kemenangan pertama Samurai Biru ke atas Selecao.

RAMALAN

Brazil: 58%

Seri: 24%

Jepun: 18%

PRATONTON PERLAWANAN

Pertembungan di Stadium NRG, Houston ini menjanjikan aksi menarik antara pengalaman dan tradisi besar Brazil dengan disiplin taktikal Jepun yang semakin matang di pentas antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN