PETALING JAYA: Jabatan undang-undang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu tampil sebagai ‘kuasa besar’ dalam pentadbiran badan induk itu supaya urus tadbir dapat dilakukan dengan lebih baik dan mengelak dipalit isu negatif.
Bekas Naib Presiden FAM, Datuk N. Saaran berkata, skop tanggungjawab jabatan undang-undang adalah luas dan tidak hanya terhad untuk menjatuhkan hukuman kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
“Salah satu daripada pandangan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) adalah daripada segi undang-undang. Mereka mengatakan dalam bola sepak moden, (jabatan) undang-undang sangat penting dalam mana-mana organisasi.
“Kita kena tingkatkan jabatan undang-undang FAM supaya kita tidak hanya menumpukan kepada tindakan disiplin daripada segi bola sepak atau pun pelanggaran (peraturan), tetapi ia juga babitkan tadbir urus,” katanya.
Sebelum ini, isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya mencetuskan pertikaian dan persepsi negatif terhadap FAM khususnya dalam pelaksanaan tanggungjawab mengikut peraturan.
Dakwaan itu menyaksikan FAM dikenakan denda CHF350,000 oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), malah Harimau Malaya dipotong enam mata di pusingan kelayakan Piala Asia dan semua pemain pula didenda CHF2,000 serta penggantungan selama 12 bulan.
Lebih berat, Kongres Luar Biasa (EGM), minggu lalu, AFC mendedahkan 10 daripada 11 bahagian utama yang dinilai mendapati FAM telah gagal melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.
“Sekarang kita sedang menaiktaraf apa sahaja yang sudah lapuk, tetapi tidak bermakna kita ini tidak bagus. Contoh mudah, sekarang kita ibaratnya macam hotel dua bintang, sekarang kita nak ke tahap lima bintang.
“Dalam jangka masa setahun, dua tahun saya tidak fikir kita boleh terus ke lima bintang. Jadi kita akan tambah baik, bergerak ke tiga bintang, empat bintang dan seterusnya lima bintang,” katanya. – UTUSAN










