VANCOUVER: Iran terpaksa menunggu keputusan dalam kumpulan lain untuk pengesahan sama ada mampu layak ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia selepas bangkit mengikat Mesir 1-1 dalam aksi Kumpulan G, hari ini.
Mesir yang sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati terlebih dahulu mengejutkan Iran menerusi jaringan Mahmoud Saber seawal minit kelima permainan, namun kelebihan itu tidak bertahan lama.
Iran kembali menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian hasil jaringan Ramin Rezaeian dan mereka berpeluang untuk mendahului, namun sepakan penalti kapten, Mehdi Taremi berjaya diselamatkan pada babak pertama.
Taremi sekali lagi hampir menjadi penyelamat apabila tandukannya pada penghujung perlawanan sekadar singgah di palang gol, menafikan peluang kemenangan penting buat Iran.
Drama perlawanan tidak terhenti di situ apabila Iran menyangka mereka sudah memperoleh gol kemenangan pada masa kecederaan menerusi Shoja Khalilzadeh.
Namun, kegembiraan itu tidak kekal lama selepas semakan VAR membatalkan jaringan tersebut kerana Khalilzadeh dikesani berada dalam kedudukan ofsaid.
Keputusan seri itu menyaksikan Mesir menamatkan saingan Kumpulan G di tangga kedua dengan lima mata, di belakang Belgium berdasarkan perbezaan gol.
Iran pula menghuni tempat ketiga dengan tiga mata dan kini perlu menunggu keputusan kumpulan lain bagi menentukan sama ada mereka tersenarai dalam kalangan lapan pasukan tempat ketiga terbaik untuk mara ke pusingan 32 terbaik.- AGENSI










