MIAMI: Impian Ana Candida Evora untuk menyaksikan anaknya, penjaga gol Cape Verde, Vozinha beraksi di pentas Piala Dunia akhirnya menjadi kenyataan apabila dia berjaya dibawa ke stadium bagi menyaksikan perlawanan pasukan negara itu menentang Uruguay.
Sebelum ini, kisah Evora yang gagal memperoleh visa untuk hadir ke kejohanan tersebut mendapat perhatian ramai selepas Vozinha mendedahkan rasa kecewanya walaupun mencipta aksi cemerlang ketika membantu Cape Verde mengikat Sepanyol tanpa jaringan.
Keadaan itu mencetuskan kempen di media sosial bagi mengumpul dana untuk membiayai perjalanan Evora, sekali gus menarik perhatian beberapa ahli politik Amerika Syarikat (AS) yang membantu memudahkan urusan kehadirannya.
Kehadiran Evora di stadium disahkan apabila dia beberapa kali dipaparkan menerusi siaran langsung televisyen, sekali gus memberikan sokongan secara langsung kepada anaknya yang beraksi di bawah tekanan tinggi di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, perlawanan tersebut tidak semanis yang diharapkan buat Vozinha apabila pintu gawang dibolosi dua gol oleh Uruguay.
Begitu pun, Cape Verde berjaya mengelakkan kekalahan apabila bangkit mengikat lawan menerusi jaringan penyamaan Helio Varela pada minit ke-61.
Vozinha yang berdepan aksi sukar pada separuh masa pertama berjaya memperkemaskan permainannya selepas rehat dan tidak melepaskan sebarang gol dalam babak kedua.
Kisah pengorbanan dan kehadiran Evora untuk menyaksikan anaknya beraksi menjadi antara perhatian utama sepanjang kejohanan itu, sekali gus menambah makna kepada perjalanan bersejarah Cape Verde di pentas Piala Dunia. – AGENSI










