EAST RUTHERFORD: Penjaga gol Senegal, Edouard Mendy mengakui pasukannya dihukum akibat hilang tumpuan pada detik-detik penting ketika tewas 1-3 kepada Perancis dalam aksi pembukaan Kumpulan I Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Senegal menyesali kegagalan memanfaatkan beberapa peluang terbaik pada separuh masa pertama sebelum Perancis menemui rentak permainan mereka pada babak kedua.
Dua gol daripada Kylian Mbappe dan satu jaringan Bradley Barcola memastikan kemenangan selesa buat Les Bleus, manakala gol sagu hati Senegal dijaringkan oleh Ibrahim Mbaye.
Menurut Mendy, walaupun Senegal lebih menyerlah pada babak pertama, mereka gagal melaksanakan pelan permainan dengan sempurna.
“Kami agak perlahan pada separuh masa pertama. Kami tahu pada babak kedua kami perlu meningkatkan tahap permainan dan lebih tajam dalam serangan.
“Kami berjaya melakukannya pada beberapa ketika, tetapi apabila berdepan pasukan seperti Perancis, anda perlu berada pada tahap terbaik sama ada ketika bertahan atau menyerang.
“Anda tidak boleh hilang fokus walau sesaat kerana mereka memiliki pemain yang mempunyai bakat luar biasa,” katanya kepada beIN Sports.
Bekas penjaga gol Chelsea yang membantu kelab itu menjuarai UEFA Champions League pada 2021 berkata, jurang antara kedua-dua pasukan sebenarnya tidaklah begitu besar.
“Kami tahu kemampuan yang kami ada dan kami mampu bermain dengan lebih baik. Kami terlalu cuai dalam mengekalkan penguasaan bola. Kami sepatutnya lebih konsisten ketika mengawal permainan.
“Namun pada masa yang sama, kami juga perlu mengakui bahawa lawan kami hari ini adalah sebuah pasukan yang sangat berkualiti,” katanya.
Mendy yang turut membantu Senegal menjulang kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika yakin peluang pasukannya untuk mara ke pusingan kedua masih terbuka luas.
Senegal yang pernah mara ke suku akhir Piala Dunia 2002 akan berdepan Norway pada Isnin depan sebelum menentang Iraq empat hari kemudian.
“Hari ini kami kalah, tetapi sama seperti pada 2022 apabila kami tewas dalam perlawanan pertama sebelum bangkit mara ke pusingan kalah mati, kami perlu berehat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan menentang Norway,” katanya.
Mendy kini beraksi bersama kelab Arab Saudi, Al-Ahli Saudi FC. –AGENSI










