TORONTO: Gol tunggal Ante Budimir ketika menewaskan Panama 1-0 dalam aksi kedua Kumpulan L menghidupkan semula peluang Croatia ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026.
Kedua-dua pasukan turun memburu mata pertama selepas tewas pada aksi pertama, kekalahan akan menamatkan cabaran mereka susulan keputusan seri tanpa jaringan antara England dan Ghana pada aksi lebih awal.
Penyokong Croatia menceriakan suasana sebelum sepak mula dengan nyanyian lagu patriotik terkenal, Moja domovina, sekali gus membangkitkan semangat pasukan.
Gol tunggal perlawanan hanya hadir pada minit ke-54 selepas Budimir menyempurnakan umpanan Josip Stanisic dari dalam kotak penalti.
Croatia hampir menambah gol kedua apabila Marco Pasalic berjaya melepasi kawalan pertahanan dan berdepan penjaga gol Orlando Mosquera, namun gagal menyempurnakan peluang terhidang.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam pertembungan fizikal di bahagian tengah padang, namun Panama lebih banyak mengancam pada babak pertama menerusi kelajuan Jose Luis Rodriguez dan Amir Murillo di bahagian sayap.
Bagaimanapun, beberapa hantaran lintang berbahaya yang dihantar mereka gagal disudahkan rakan sepasukan.
Kemenangan itu menjadi penutup manis buat kapten Croatia, Luka Modric yang membuat penampilan antarabangsa ke-200 pada usia 40 tahun.- AGENSI










