BOSTON: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan mengkaji semula pelaksanaan sesi rehat hidrasi bagi kejohanan Piala Dunia akan datang berdasarkan pengalaman edisi kali ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas peraturan berkenaan terus menerima kritikan hebat daripada peminat dan penganalisis bola sepak yang menyifatkannya sebagai mengganggu momentum perlawanan.
Sesi rehat yang diberikan pada pertengahan setiap separuh masa itu dilihat seolah-olah membahagikan perlawanan bola sepak kepada empat suku masa.
Lebih mencetuskan pertikaian, ia tetap dilaksanakan sebagai peraturan mandatori tanpa mengira faktor cuaca, termasuk di dalam stadium yang berbumbung tertutup serta dilengkapi sistem pendingin hawa.
Ketika aksi Kumpulan L antara England dan Ghana di Stadium Boston, situasi tegang tercetus apabila pengadil tetap menghentikan permainan untuk rehat hidrasi walaupun aksi sebelum itu sudah pun terhenti lama berikutan kecederaan pemain.
Bagaimanapun, Presiden FIFA, Gianni Infantino menyangkal dakwaan bahawa sesi rehat terbabit diperkenalkan sengaja sebagai ruang untuk menyiarkan lebih banyak iklan komersial demi keuntungan.
“Syarikat penyiaran mungkin menjana lebih banyak pendapatan, tetapi bagi kami di FIFA, kami memperoleh sifar pendapatan tambahan daripada sesi rehat ini.
“Menerusi rehat ini, jurulatih mungkin boleh menilai semula situasi dan membetulkan kesilapan taktikal, manakala pemain dapat berehat seketika sebelum kembali beraksi pada tahap kelajuan penuh. Adakah itu sesuatu yang buruk?.
“Mungkin ia sebenarnya bagus kerana kita dapat melihat intensiti serangan yang tinggi sehingga saat akhir perlawanan,” kata Infantino
Mengulas mengenai desakan supaya rehat hidrasi hanya dilaksanakan mengikut kesesuaian kes, Infantino menjelaskan langkah itu bagi memastikan keadilan kepada semua pasukan yang bertanding.
“Jika kami hanya menggunakan rehat hidrasi dalam perlawanan yang cuacanya terlalu panas dan tidak di perlawanan lain, kami akan memberi kelebihan atau kekurangan kepada sesetengah jurulatih atau pasukan.
“Mengapa seorang jurulatih mendapat peluang mengubah taktikal dalam satu perlawanan hanya kerana cuaca panas, manakala jurulatih lain tidak mendapat peluang sama dalam perlawanan yang kurang panas?” katanya.-AGENSI










