PETALING JAYA: Dapatan audit yang didedahkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Kongres Luar Biasa (EGM), kelmarin wajar dijadikan pengajaran dan titik kebangkitan semula Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Walaupun imej FAM tercalar selepas 10 bahagian yang dinilai lemah dengan mencapai separuh daripada markah penilaian, ia tetap boleh diangkat sebagai detik penting mengembalikan maruah badan induk bola sepak negara itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, sama ada baik atau buruk, apa juga hasil penilaian dibuat oleh AFC wajar dijadikan pedoman kepada semua orang untuk menjadikan FAM lebih baik pada masa akan datang.
“Kita terima apa pun dapatan yang dibuat oleh AFC dan kita tidak boleh lagi berpaling ke belakang. Apa yang dikongsikan kali ini juga adalah sesuatu yang bagus dan kita kena ambil sebagai panduan untuk jadi lebih baik.
“Kalau nak Malaysia ke arah Piala Dunia, kita pun pastinya kena ada struktur yang betul. Perancangan boleh diatur tetapi saya tidak boleh buat apa dan kena tunggu Exco baharu yang bakal dilantik selepas ini,” katanya.
Menerusi perkongsian yang dibentangkan oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany, kelmarin, badan induk bola sepak Asia itu mendapati FAM mengalami masalah tadbir urus yang boelh dianggap kritikal dan perlu dibaik.
Dalam perkongsian itu, AFC mendedahkan aspek kewangan, maklumat perniagaan dan risiko mendapat markah paling rendah iaitu 1.2 diikuti tadbir urus dan perundangan (1.3), budaya, infrastruktur dan fasiliti (1.4), pemasaran dan jenama, komersial dan pembangunan perniagaan (1.8), advokasi, penglibatan dan pengurusan (1.7), pentadbiran, logistik dan teknologi maklumat (1.6) dan prestasi, pembangunan dan penyertaan (1.5).
Selain tidak mengumumkan perbelanjaan tahunan kepada kongres sejak 2016, AFC juga mendedahkan Malaysia menjadi satu-satunya negara yang tidak memasukkan kelab sebagai ahli gabungan badan malah FAM juga adalah badan induk yang memiliki ahli gabungan paling sikit berbanding negara Asia Tenggara lain.
Thailand memiliki pembabitan kelab sebagai ahli gabungan terbanyak dengan 69 pasukan, diikuti Indonesia (43), Myanmar, Singapura (31), Laos (18), Brunei (16), Filipina (12), Kemboja (11) dan Timor Leste (2).-UTUSAN










