KANSAS CITY: Bintang sayap England, Bukayo Saka percaya skuad The Three Lions memiliki segala ramuan untuk menjuarai Piala Dunia 2026 selepas beberapa kali hampir mencapai kejayaan dalam kejohanan utama sebelum ini.
Pemain Arsenal itu berkata, England kini mempunyai bakat, semangat dan keyakinan yang cukup untuk mengambil langkah terakhir menuju gelaran dunia.
Saka merupakan antara tonggak penting ketika era kendalian Gareth Southgate yang mara ke dua final berturut-turut Kejohanan Eropah serta ke suku akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.
Sebelum itu, England turut mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 di Rusia, pencapaian terbaik mereka dalam tempoh beberapa dekad.
Ketika ditanya mengenai pengajaran yang boleh diambil daripada kejohanan-kejohanan terdahulu menjelang aksi pembukaan menentang Croatia, Saka menegaskan keyakinan adalah faktor utama.
“Saya rasa setiap kejohanan memberi pengajaran yang berbeza, terutamanya apabila kami berjaya mara ke dua final.
“Saya fikir perkara paling penting ialah kepercayaan terhadap kemampuan sendiri. Apabila saya melihat rakan sepasukan, saya nampak bakat yang kami miliki, semangat yang tinggi dan keyakinan yang kuat.
“Kami mempunyai ramai pemain yang tahu bagaimana untuk menang dan ramai pemimpin dalam pasukan. Dengan keyakinan itu, saya percaya kami mampu melangkah ke tahap seterusnya,” katanya.
Pemain berusia 24 tahun itu turut mengakui suasana dalam kem England ketika ini berada pada tahap terbaik.
“Saya sangat teruja. Semua pemain berada dalam semangat yang tinggi. Suasana dalam kem sangat positif. Kami tidak sabar untuk memulakan perlawanan pertama dan memulakan kempen Piala Dunia ini,” katanya.
Saka turut menjelaskan kejayaan Arsenal menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim lalu memberi suntikan moral yang besar kepada dirinya dan beberapa rakan sepasukan dari kelab itu.
“Bagi saya dan pemain Arsenal yang lain, kami hadir ke Piala Dunia dengan keyakinan dan kebebasan yang lebih besar. Saya percaya perkara itu akan membantu meningkatkan prestasi kami,” katanya.
Sementara itu, pengendali England, Thomas Tuchel sebelum ini mengakui tahap kecergasan Saka perlu dipantau rapi selepas pemain itu mengalami masalah kecederaan tendon Achilles pada penghujung musim domestik.
Bagaimanapun, Saka yang kembali beraksi pada penghujung musim menegaskan dirinya sudah bersedia sepenuhnya untuk diturunkan dalam perlawanan menentang Croatia di Arlington, Texas.
“Saya bersedia untuk beraksi,” katanya ringkas.
England akan memulakan kempen Kumpulan L menentang Croatia sebelum berdepan Ghana dan Panama dalam usaha memburu kejuaraan dunia kedua selepas kejayaan bersejarah pada 1966.– AGENSI










