MIAMI: Pengendali Scotland, Steve Clarke mengakui pasukannya berkemungkinan besar akan pulang lebih awal daripada saingan Piala Dunia selepas tewas 0-3 kepada Brazil dalam aksi terakhir Kumpulan C, Rabu lalu.
Clarke menyifatkan persembahan anak buahnya sebagai mengecewakan selepas kesilapan mudah di pertahanan memberi ruang kepada Brazil untuk menguasai perlawanan, termasuk dua jaringan Vinicius Junior pada separuh masa pertama dan satu gol tambahan oleh Matheus Cunha.
“Persembahan yang mengecewakan, keputusan yang buruk. Jika anda memberikan peluang kepada pasukan seperti Brazil, anda pasti akan dihukum.
“Kami mungkin akan pulang,” kata Clarke mengenai peluang Scotland untuk mara ke pusingan seterusnya.
Kekalahan tersebut menyaksikan Scotland menamatkan saingan kumpulan di tempat ketiga dengan tiga mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Haiti serta kekalahan 0-1 kepada Maghribi pada aksi sebelumnya.
Bagaimanapun, mereka masih perlu menunggu keputusan kumpulan lain bagi menentukan sama ada layak sebagai salah satu daripada lapan pasukan tempat ketiga terbaik daripada 12 kumpulan.
“Kami perlu pulang dan menilai semula prestasi ini serta memahami sebab kekalahan berlaku seperti ini. Perkara lain boleh difikirkan kemudian,” kata Clarke.
Scotland akan kembali ke kem latihan mereka di Charlotte sebelum menunggu keputusan rasmi semua perlawanan peringkat kumpulan yang akan berakhir pada Sabtu ini.
Dalam perlawanan menentang Brazil, Scotland dilihat bergelut untuk menyaingi keampuhan jentera serangan lawan selain gagal memanfaatkan beberapa peluang terhad, meskipun Scott McTominay mencuba melalui tandukan pada babak kedua.
“Kami berdepan pasukan bertaraf tinggi yang sangat berbahaya di kawasan serangan. Mereka menjaringkan gol hasil kesilapan kami sendiri dan secara keseluruhan tiada perbandingan antara kedua-dua pasukan,” kata Clarke.
Rekod Scotland di kejohanan utama di bawah kendalian Clarke kini mencatatkan hanya satu kemenangan daripada sembilan perlawanan, sekali gus terus menghantui kem mereka yang masih bergelut untuk menamatkan penantian ke pusingan kalah mati Piala Dunia.
Namun begitu, Clarke tetap memberi penghargaan kepada penyokong Scotland yang hadir memberi sokongan padu di Amerika Syarikat.
“Peminat kami sangat hebat, tetapi jangan lupa pasukan inilah yang membawa mereka ke Piala Dunia. Tanpa pemain ini, mereka tidak akan berada di sini,” katanya. – AFP










