Cari cabaran baharu jadi ‘alasan’ Cklamovski angkat kaki

Cari cabaran baharu jadi ‘alasan’ Cklamovski angkat kaki

PETER CKLAMOVSKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mencari cabaran baharu menjadi faktor utama di sebalik keputusan mengejut Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski meninggalkan skuad kebangsaan, sekali gus menamatkan khidmatnya lebih awal daripada jangkaan.

Pengendali dari Australia itu secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, bagi membuka lembaran baharu kepada pasukan negara yang dijangka melalui proses penstrukturan semula.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas beliau merasakan sudah tiba masa untuk melangkah ke cabaran baharu dalam kerjaya kejurulatihan, meskipun sebelum ini beliau dilihat sedang membina asas projek jangka panjang bersama skuad kebangsaan.

“Hari ini (semalam)saya mengumumkan pemergian saya sebagai ketua jurulatih Malaysia. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas sokongan diberikan dan memahami keputusan saya bahawa sudah tiba masanya untuk saya menerima cabaran baharu,” katanya.

Sepanjang mengemudi Harimau Malaya, Cklamovski menegaskan setiap usaha yang digerakkan adalah berpaksikan matlamat utama untuk membanggakan negara, selain memuji komitmen luar biasa yang ditunjukkan pemain serta staf kejurulatihan.

Beliau turut mengakui potensi besar dimiliki bola sepak Malaysia, khususnya daripada aspek sokongan penyokong, bakat pemain serta kecintaan terhadap sukan itu yang menurutnya perlu terus dipelihara dan diperkukuhkan.

“Bola sepak Malaysia memiliki potensi yang amat besar. Semangat penyokong, bakat pemain dan kecintaan terhadap permainan ini adalah sesuatu yang mesti sentiasa dipelihara.

“Harapan saya agar bola sepak Malaysia terus berkembang, dengan setiap keputusan berpandukan apa yang terbaik untuk sukan, pemain dan masa depan negara,” jelasnya.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan turut mengumumkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Rob Friend juga sudah ditamatkan melalui persetujuan bersama berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.

Badan induk itu menjelaskan kontrak Cklamovski dan dua staf teknikal skuad senior, Matthew Smith serta Seiya Imazaki ditamatkan atas persetujuan bersama, berkuat kuasa kelmarin (16 Jun).

“FAM juga ingin memaklumkan bahawa kontrak ketua jurulatih pasukan B-23 kebangsaan, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin turut ditamatkan atas persetujuan bersama, berkuat kuasa pada 15 Jun 2026,” kata FAM.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN