MIAMI: Ketua jurulatih Cape Verde, Bubista menyuarakan keyakinan bahawa pasukannya kini berada di landasan terbaik untuk melakar sejarah layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas mengikat Uruguay 2-2 dalam aksi Kumpulan H, semalam.
Cape Verde beraksi pertama kali di kejohanna berprestij itu mencuri perhatian apabila mengekalkan rentak cemerlang selepas sebelum ini mencatat keputusan seri 1-1 menentang Sepanyol.
Keputusan tersebut menyaksikan Cape Verde yang kini menghuni ranking ke-63 dunia hanya memerlukan kemenangan ke atas Arab Saudi dalam perlawanan terakhir kumpulan bagi mengesahkan tempat ke kelompok 32 pasukan terbaik.
“Sejak awal, kami mahu bersaing pada tahap tertinggi dan itulah yang kami cuba lakukan.
“Lebih penting daripada keputusan ialah bagaimana kami menzahirkan identiti pasukan, kekuatan, kesatuan dan ketahanan kami di atas padang.
“Kami berada di sini untuk merealisasikan impian baharu iaitu layak ke pusingan kedua dan kami percaya ia adalah sasaran yang wajar,” kata Bubista.
Menurut Bubista, pasukannya tampil tanpa rasa gentar seperti yang dijanjikan sebelum perlawanan menentang Uruguay dan berjaya membuktikan kemampuan sebenar mereka di pentas tertinggi.
Cape Verde terlebih dahulu mengejutkan Uruguay apabila membuka jaringan menerusi sepakan percuma cantik Kevin Pina sebelum bangkit menyamakan kedudukan melalui Helio Varela selepas ketinggalan 2-1, sekali gus memastikan satu mata berharga.
“Kami mahu menunjukkan kepada dunia bahawa kami mampu bersaing untuk kelayakan, dan itulah yang kami buktikan hari ini,” katanya.
Bubista menegaskan fokus pasukan kini hanya terarah kepada misi menentang Arab Saudi bagi merealisasikan impian melangkah ke pusingan seterusnya. – AFP










