MORRISTOWN: Brazil tidak mempunyai pilihan selain mencatat kemenangan apabila turun menentang Haiti dalam aksi kedua Kumpulan C Piala Dunia 2026, esok bagi memastikan tempat ke pusingan kalah mati terjamin.
Tekanan terhadap skuad kendalian Carlo Ancelotti semakin memuncak selepas permulaan hambar pada perlawanan pembukaan apabila seri 1-1 dengan Maghribi, menyaksikan Vinicius Junior muncul penyelamat menerusi jaringan penyamaan bagi memadam ledakan Ismael Saibari.
Keputusan itu mencetuskan tanda tanya besar mengenai kemampuan juara dunia lima kali itu, untuk muncul sebagai pencabar utama kejuaraan apabila mereka dilihat bergelut mencari rentak permainan terbaik selain gagal menampilkan corak permainan yang meyakinkan.
Kini, pertemuan dengan Haiti menjadi medan penting buat Selecao memburu kemenangan pertama kejohanan, namun cabaran sebenar mungkin bukan datang daripada lawan mereka, sebaliknya daripada usaha memperbaiki kelemahan sendiri yang terserlah dalam aksi terdahulu.
Ancelotti turut menerima kritikan selepas beberapa keputusan pemilihan pemain dipersoalkan, termasuk meletakkan Igor Thiago dan Roger Ibanez dalam kesebelasan utama ketika menentang Maghribi.
Pada masa sama, gandingan Casemiro dan Lucas Paqueta di bahagian tengah gagal memberikan penguasaan yang diharapkan pada separuh masa pertama namun kemasukan Danilo, Fabinho dan Matheus Cunha selepas rehat berjaya mengubah tempo permainan Brazil apabila pasukan itu tampil lebih seimbang serta agresif dalam usaha memburu gol penyamaan.
Situasi tersebut meletakkan Ancelotti dalam dilema menjelang aksi menentang Haiti sama ada untuk mengekalkan barisan pemain yang memulakan kempen atau melakukan rombakan bagi mengembalikan keyakinan pasukan.
“Kami tahu prestasi menentang Maghribi tidak berada pada tahap yang diharapkan. Namun kejohanan seperti Piala Dunia bukan ditentukan oleh satu perlawanan sahaja.
“Kami perlu belajar daripada kesilapan, menunjukkan reaksi yang betul dan membuktikan kualiti sebenar pasukan ini ketika menentang Haiti,” kata Ancelotti.
Bagi Danilo pula masalah Brazil melangkaui isu pemilihan pemain semata-mata, sebaliknya melibatkan proses pembentukan identiti permainan yang masih belum benar-benar kukuh.
“Apabila anda mempunyai pelan yang kukuh dan dibina secara berterusan, anda akan berpaut kepadanya ketika berdepan kesukaran. Itu sesuatu yang kami masih belum berjaya bina,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, perhatian turut terarah kepada Neymar yang sedang berusaha pulih daripada kecederaan betis.
Bintang berusia 34 tahun itu dilaporkan sudah kembali menjalani latihan ringan, namun tahap kecergasannya untuk diturunkan menentang Haiti masih menjadi tanda tanya.-AGENSI










