VANCOUVER: Belgium menewaskan New Zealand 5-1 untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026, sekali gus meraih kemenangan pertama mereka dalam kejohanan itu dan muncul juara Kumpulan G di Vancouver.
Dua gol daripada Leandro Trossard serta jaringan Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Alexis Saelemaekers membawa Belgium mara ke kelompok 32 terbaik selaku juara kumpulan, mengatasi Mesir menerusi perbezaan gol.
Mesir pula menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan selepas seri 1-1 dengan Iran di Seattle, manakala Iran berada di tangga ketiga.
Belgium menguasai separuh masa pertama dan hampir membuka jaringan seawal permainan apabila percubaan sudut sempit Trossard terkena tiang sebelum dikeluarkan di atas garisan oleh pertahanan New Zealand, Tyler Bindon.
Belgium itu kemudian dihadiahkan sepakan penalti selepas rembatan Trossard terkena tangan pertahanan Finn Surman. Namun, pengadil dari Jordan, Adham Mohammad, membatalkan keputusan tersebut selepas semakan VAR.
Belgium akhirnya memecah kebuntuan menerusi Trossard yang menyempurnakan peluang dari jarak dekat selepas sepakan penjuru De Bruyne mencetuskan kekalutan di dalam kotak penalti New Zealand.
Trossard menambah gol kedua lima minit selepas babak kedua bermula apabila menyambar bola muntah sebelum melakukan voli menewaskan penjaga gol New Zealand, Max Crocombe, di tiang dekat.
De Bruyne kemudian meledak gol ketiga pada minit ke-66 menerusi rembatan rendah yang kemas, sekali gus meletakkan Belgium di tangga teratas kumpulan mengatasi Mesir berdasarkan perbezaan gol.
New Zealand bagaimanapun merapatkan kedudukan menerusi voli Elijah Just dari luar kawasan penalti untuk menjadikan keputusan 3-1, sekali gus menyebabkan Belgium seketika jatuh ke tangga kedua kumpulan.
Namun, Lukaku yang baru dimasukkan sebagai pemain gantian menjaringkan gol keempat Belgium pada minit ke-86 menerusi sentuhan pertamanya, sebelum Saelemaekers melengkapkan kemenangan bergaya 5-1 dengan rembatan dari luar kotak penalti.-AGENSI










