AS mula garang, lumat Paraguay 4-1

AS mula garang, lumat Paraguay 4-1

GIOVANNI Reyna(tengah) meraikan jaringan gol keempat pasukannya ketika aksi Kumpulan D Piala Dunia 2026 antara Amerika Syarikat dan Paraguay di Stadium Los Angeles, Inglewood.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Amerika Syarikat (AS) memulakan kempen Piala Dunia di gelanggang sendiri dengan penuh bergaya apabila membelasah Paraguay 4-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Stadium Los Angeles, sebentar tadi.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino tidak menunggu lama untuk menguasai permainan apabila membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi gol sendiri Damian Bobadilla, hasil tekanan awal yang diatur kemas oleh barisan serangan AS.

Selepas itu, penyerang utama AS, Folarin Balogun menjadi tumpuan apabila meledak dua gol dalam babak pertama bagi meletakkan pasukannya selesa di depan.

Gol kedua hadir pada minit ke-31 apabila Balogun menyudahkan hantaran tepat Christian Pulisic dengan penyudah satu sentuhan yang tenang dan meyakinkan.

Tidak cukup dengan itu, Balogun terus mempamerkan sentuhan berbisa apabila menghasilkan jaringan menarik pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Gerakan solo memukau yang menewaskan dua pertahanan lawan disudahkan dengan rembatan padu ke penjuru gawang untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Paraguay cuba bangkit pada babak kedua dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi Mauricio pada minit ke-73 selepas menerima hantaran pantas Julio Enciso.

Namun harapan kebangkitan itu dipadamkan apabila AS melengkapkan malam cemerlang mereka dengan gol keempat pada masa kecederaan menerusi Gio Reyna yang menyudahkan serangan balas dengan kemas.

Perlawanan turut menyaksikan kembalinya pertahanan Chris Richards selepas pulih daripada kecederaan, selain penampilan sulung Piala Dunia buat penjaga gol Matt Freese yang mengisi tempat Matt Turner.

AS dijadualkan menentang Australia pada 19 Jun di Seattle, manakala Paraguay bakal berdepan Turkiye dalam aksi seterusnya Kumpulan D.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN