Ahli gabungan terima atau tolak cadangan AFC?

Ahli gabungan terima atau tolak cadangan AFC?

FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masa depan struktur pentadbiran bola sepak negara kini berada di tangan ahli-ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang Mesyuarat Luar Biasa (EGM) badan induk itu pada, hari ini.

Persoalan terbesar yang sedang bermain dalam kalangan pemerhati bola sepak adalah sama ada ahli gabungan akan menerima sepenuhnya cadangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terhadap 94 artikel dalam draf statut baharu atau hanya meluluskan sebahagiannya.

Apa yang pasti, sebarang keputusan yang dibuat bakal menentukan hala tuju reformasi pentadbiran bola sepak negara untuk tempoh jangka panjang.

Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berpandangan FAM sewajarnya menerima saranan AFC kerana kebanyakan cadangan yang dikemukakan diyakini mampu memperkukuhkan aspek tadbir urus, ketelusan serta amalan demokrasi dalam badan induk itu.

Antara perubahan yang mendapat perhatian ialah pengurangan syarat pencalonan jawatan Presiden FAM daripada enam kepada empat pencalonan, sekali gus membuka ruang persaingan yang lebih luas dalam pemilihan kepimpinan tertinggi badan itu.

Selain itu, cadangan membolehkan wakil kumpulan pakar seperti jurulatih, pemain dan pengadil menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM juga dilihat mampu mewujudkan representasi lebih menyeluruh dalam proses membuat keputusan.

“Sebelum ini saya katakan enam pencalonan untuk Presiden FAM terlampau tinggi. Sekarang ini, kurang pencalonan dan ia langkah yang bagus kerana kurang halangan untuk bertanding.

Saya percaya sebelum ini, isunya adalah sebelum bertanding sudah kena potong,” kata Nik Erman.

Bagaimanapun, Nik Erman berpandangan jawatan Naib Presiden 2 tidak wajar diberikan secara automatik kepada Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Katanya, MFL sepatutnya berfungsi sebagai badan penghubung antara liga dan FAM, bukannya mempunyai kerusi tetap dalam struktur kepimpinan tertinggi badan induk tersebut.

Namun, persoalan utama bukan lagi mengenai cadangan AFC, sebaliknya sejauh mana ahli-ahli gabungan bersedia menerima perubahan yang dicadangkan.

Jika semua artikel yang disyorkan AFC diluluskan, FAM berpeluang memperlihatkan komitmen yang lebih jelas terhadap prinsip tadbir urus moden yang selari dengan amalan badan bola sepak antarabangsa.

Malah, penerimaan penuh juga boleh mengurangkan persepsi bahawa terdapat halangan tidak rasmi yang mengehadkan persaingan dalam perebutan jawatan tertinggi FAM.
Sebaliknya, jika hanya sebahagian cadangan diterima, FAM perlu memberikan justifikasi yang kukuh bahawa pindaan yang ditolak tidak menjejaskan objektif reformasi yang sedang diusahakan.

Apa yang lebih mencuri perhatian ialah kemungkinan berlakunya penolakan terhadap beberapa cadangan utama AFC.

Walaupun setiap ahli gabungan mempunyai hak demokrasi untuk menentukan pendirian masing-masing, tindakan menolak cadangan yang dianggap penting oleh AFC berpotensi menimbulkan persoalan mengenai kesediaan FAM melaksanakan pembaharuan institusi yang lebih menyeluruh.

Dari sudut reputasi, keputusan sedemikian boleh mengundang penelitian lebih dekat daripada AFC dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), khususnya apabila badan-badan tersebut semakin menekankan aspek tadbir urus, akauntabiliti dan keterangkuman dalam pentadbiran persatuan bola sepak kebangsaan.

Untuk rekod, semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela pada Januari lalu demi memastikan proses penstrukturan semula dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

Justeru, EGM kali ini bukan sekadar mesyuarat biasa, sebaliknya merupakan ujian sebenar sama ada ahli-ahli gabungan mahu membawa FAM ke arah landskap pentadbiran yang lebih terbuka dan progresif atau memilih pendekatan yang lebih berhati-hati terhadap perubahan.

AFC boleh memberi pandangan, FIFA boleh mengemukakan garis panduan, namun keputusan muktamad tetap berada di tangan ahli gabungan FAM.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN