PETALING JAYA: Semua 18 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebulat suara meluluskan pindaan Statut FAM yang dicadangkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam Kongres Luar Biasa badan induk itu di sini, semalam.
Keputusan berkenaan membuka lembaran baharu buat pentadbiran bola sepak negara apabila pelbagai perubahan besar membabitkan struktur organisasi, keahlian dan sistem pemilihan badan induk itu yang bakal dilaksanakan pada September ini.
Kongres yang dipengerusikan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John itu turut meluluskan Kod Elektoral serta Peraturan Organisasi FAM selepas mendapat sokongan penuh daripada semua ahli gabungan yang hadir.
Kelulusan berkenaan dicapai secara en bloc, biarpun pada mulanya terdapat beberapa perwakilan sebelum ini membangkitkan pelbagai persoalan mengenai beberapa peruntukan dalam draf statut berkenaan, khusus melibatkan tiga kerusi Naib presiden.
Bagaimanapun, segala persoalan yang dibangkitkan berjaya dijelaskan selepas Windsor bersama Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany, memberikan penerangan terperinci berhubung cadangan pindaan yang dikemukakan.
Terdahulu, AFC memaklumkan sebanyak 94 artikel terkandung dalam draf statut baharu yang disediakan hasil audit menyeluruh terhadap pentadbiran FAM.
Menurut Windsor, cadangan itu bertujuan memperkukuhkan tadbir urus dan memastikan badan induk bola sepak negara bergerak selari dengan amalan terbaik antarabangsa.
“Saya sebut en bloc. lepas saya ada sebut menyeluruh. Maknanya jika perwakilan ingin statut itu diluluskan secara menyeluruh tanpa apa-apa debat.
“Itu terpulang kepada perwakilan. Kuasa di tangan perwakilan, sama ada mereka ingin meluluskan artikel satu persatu ataupun secara menyeluruh.
“Kalau kita buat benda baru mungkin ada kekeliruan sebab biasanya FAM tak mengamalkan praktis ini, yang biasa dipraktikkan di FIFA dan AFC.
“Maknanya, jika ada apa-apa perubahan statut, diminta dulu kepada perwakilan sama ada mereka ingin ataupun mereka setuju untuk meluluskan perubahan itu secara menyeluruh,” katanya dalam sidang akhbar selepas kongres berkenaan.
Antara perubahan paling ketara ialah pemansuhan jawatan Timbalan Presiden manakala jumlah kerusi Naib Presiden akan dikurangkan kepada tiga berbanding struktur sedia ada yang memperuntukkan empat kerusi.
Statut baharu itu turut membuka ruang kepada penyertaan kelab Liga Super sebagai ahli gabungan FAM yang mempunyai hak mengundi pada kongres, dengan syarat kelab berkenaan beroperasi sebagai entiti berasingan daripada persatuan bola sepak negeri.
Selain itu, wakil Liga Bolasepak Amatur (AFL), Liga Nasional Wanita, Liga Futsal Premier Malaysia, Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Pengadil turut akan menjadi sebahagian daripada ahli gabungan FAM.
Perubahan berkenaan dilihat mampu mewujudkan sistem keahlian yang lebih inklusif dan mencerminkan ekosistem bola sepak moden seperti diamalkan kebanyakan negara lain di Asia.
Statut baharu itu juga menyaksikan komposisi Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM disusun semula dengan tujuh kerusi diperuntukkan kepada wakil persatuan negeri dan badan gabungan, dua kerusi kepada wakil kelab, satu kerusi wanita serta satu kerusi pakar yang mewakili jurulatih, pemain profesional dan pengadil. – UTUSAN










