PETALING JAYA: Perbelanjaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan dipantau oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memastikan setiap sen daripada dana disalurkan dapat digunakan sebaik mungkin.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John selepas badan induk bola sepak Asia itu mendapati FAM hanya menggunakan 30 peratus dana yang diberikan untuk program pembangunan.
“Mesti ada keseimbangan, macam di AFC, hanya 12 peratus sahaja yang kita guna untuk gaji dan sebagainya, yang lain semuanya untuk program pembangunan. Jaid kena ada kesimbangan,” katanya.
Dalam pembentangan audit sebelum ini, Timbalan Setiausaha AFC, Vahid Kardany mendedahkan FAM hanya menggunakan 30 peratus daripada dana yang diperoleh manakala bakinya digunakan untuk pasukan kebangsaan dan pengurusan pentadbiran seperti membayar gaji kakitangan.
Menurut Windsor, AFC menyediakan dana pembangunan dan pentadbiran tahunan sehingga AS$500,000 (kira-kira RM2.2 juta) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui program AFC Enhance Member Association.
“AFC kita selalu bagi setiap tahun AS$500,000, FIFA pun ada bagi juga kepada FAM. Perkara ini terbuka dan tiada rahsia kerana semua persatuan pun dapat (peruntukan AFC, FIFA).
“Semua tahu macam mana kita (AFC) uruskan dana dan di mana keutamaan kita. Sama macam korporat jugalah, mana perginya keutamaan, jadi, rasa rasa mereka (FAM) akan buat perubahan,” katanya.
Dalam kenyataan media kelmarin, FAM tampil memperbetulkan persepsi dan menafikan badan induk itu gagal membentangkan laporan audit kewangan sejak 2016.
Selain itu, Windsor juga menjelaskan fokus pihaknya ketika ini adalah memberikan lebih kuasa kepada setiap ketua jabatan dibawah FAM untuk melaksanakan tugas dengan lebih professional.
“Sekarang ini kita nak alihkan tugasan harian daripada pengerusi jawatankuasa kepada staf. Macam pengarah dan sebagainya, merekalah yang akan buat tugas, bukan pengerusi.
“Itu yang masalahnya, pengerusi lebih berkuasa daripada pengarah, (seperti) pengarah atas nama saja. Kamu ambil orang professional, kamu kena bagi dia buat kerjalah, kalau tidak elok, tukar,” katanya.-UTUSAN










