LONDON: Tindakan Southampton mengintip sesi latihan lawan mereka, Middlesbrough menjelang aksi separuh akhir playoff Liga Kejuaraan baru-baru ini memakan diri apabila mereka tersingkir daripada saingan tersebut.
Keputusan itu diumumkan oleh Liga Bolasepak Inggeris (EFL) semalam selepas suruhanjaya disiplin bebas mendapati Southampton melanggar peraturan berkaitan rakaman tanpa kebenaran terhadap sesi latihan pasukan lawan.
Susulan hukuman tersebut, Middlesbrough kini dikembalikan semula ke final play-off dan dijadual bertemu Hull City di Wembley, Sabtu ini bagi merebut slot ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
Selain disingkirkan daripada play-off, Southampton turut dikenakan potongan empat mata bagi musim hadapan selepas mengaku melakukan beberapa pelanggaran disiplin.
Menurut EFL, seorang anggota staf kejurulatihan Southampton ditangkap oleh pegawai Middlesbrough ketika merakam sesi latihan menggunakan telefon bimbit.
Malah, Southampton turut mengaku memantau sesi latihan pasukan lain menjelang perlawanan menentang Oxford United dan Ipswich Town.
“Suruhanjaya disiplin bebas hari ini memutuskan untuk menyingkirkan Southampton daripada play-off Liga Kejuaraan,” menurut kenyataan EFL.
Bagaimanapun, Southampton yang tersingkir dari EPL musim lalu mengesahkan mereka akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut.
EFL memaklumkan proses rayuan dijangka didengar hari ini dan keputusan itu berpotensi mengubah jadual perlawanan final sekiranya rayuan diterima.
Kenaikan ke Premier League dianggarkan mampu menjana pendapatan tambahan bernilai 200 juta pound (RM1.06 bilion), sekali gus menjadikan insiden itu mencetuskan perhatian besar dalam bola sepak England.
Dalam pada itu, Middlesbrough menyambut baik keputusan berkenaan sambil menegaskan tindakan tersebut penting demi menjaga integriti sukan.
“Kami percaya keputusan ini memberi mesej jelas mengenai kepentingan integriti dan etika dalam bola sepak,” kata kelab itu.
Southampton sebelum ini berada dalam prestasi cemerlang apabila hanya tewas sekali dalam 25 perlawanan terakhir mereka, termasuk kekalahan 2-1 kepada Manchester City dalam aksi separuh akhir Piala FA.
Pasukan itu kembali menjadi pencabar utama promosi selepas dikendalikan jurulatih Jerman, Tonda Eckert, sejak November lalu, namun kontroversi terbaharu itu kini menimbulkan persoalan mengenai masa depannya di St Mary’s. – AFP










