Rakaman kamera badan jadi bahan bukti pesalah buang sampah

Rakaman kamera badan jadi bahan bukti pesalah buang sampah

H'NG Mooi Lye (kanan) menunjukkan kamera badan dipakai seorang penguat kuasa PBT di George Town, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang akan menggunakan rakaman kamera badan dan rakaman video atau gambar sebagai bahan bukti semasa operasi penguatkuasaan dijalankan bagi kesalahan pembuangan sampah kecil bermula 1 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan proses penguatkuasaan lebih praktikal, telus dan teratur.

Menurut beliau, pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi kesalahan pembuangan sampah kecil itu telah diluluskan menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 6 Mei lalu sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya di seluruh negeri bermula 1 Julai 2026.

“Minimum satu pasukan operasi ialah dua orang dan setiap pasukan hendaklah diketuai pegawai operasi. Daripada dua anggota itu pula, sekurang-kurangnya seorang akan memakai kamera badan.

“Selain kamera badan, rakaman video atau gambar juga boleh digunakan sebagai bahan bukti ketika operasi penguatkuasaan dijalankan,” katanya dalam sidang semalam.

Menurut Mooi Lye, mengikut rekod, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini mempunyai kira-kira 170 kamera badan manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memiliki 17 kamera itu bagi tujuan penguatkuasaan.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik pihak berkuasa tempatan juga boleh digunakan bagi membantu penguatkuasaan, namun, penggunaan secara langsung masih perlu diteliti bagi mengelakkan pertikaian.

Beliau berkata, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau diarahkan menjalani PKM sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Katanya, pesalah juga boleh diarah menyertai aktiviti gotong-royong komuniti, membantu kerja-kerja pembersihan pascabanjir atau bencana serta menyertai program pendidikan, komunikasi dan kesedaran awam (CEPA) yang dianjurkan PBT atau agensi kerajaan berkaitan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN