BOURNEMOUTH: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memberi bayangan bakal menentukan masa depannya bersama kelab itu selepas aksi seri 1-1 menentang Bournemouth sekali gus memusnahkan impian mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Keputusan di Stadium Vitality itu turut mengesahkan Arsenal muncul juara liga buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun apabila City kini ketinggalan empat mata dengan hanya baki satu perlawanan.
Spekulasi mengenai masa depan Guardiola semakin hangat apabila laporan media di England mendakwa pengendali dari Sepanyol itu akan meninggalkan City selepas aksi terakhir liga menentang Aston Villa hujung minggu ini.
Bagaimanapun, Guardiola enggan mengulas lanjut dan menegaskan dia perlu berbincang terlebih dahulu dengan pihak pengurusan tertinggi kelab.
“Biar saya bercakap dengan pengerusi terlebih dahulu. Saya masih mempunyai baki kontrak setahun lagi.
“Setiap kali musim berakhir, kami akan berbincang mengenainya. Saya tidak bercakap dengan sesiapa sebelum ini kerana perkara pertama yang perlu dilakukan ialah berbincang dengan pengerusi dan pihak pengurusan,” katanya.
Menurut Guardiola, pengalaman lalu mengajarnya bahawa seseorang pengurus tidak boleh menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan pasukan terlalu awal kerana ia boleh menjejaskan keyakinan pemain.
“Apabila seorang pengurus mula memberi bayangan mahu pergi, pemain tidak lagi mengikutinya. Anda perlu terus memimpin dan sekarang adalah masa untuk berbincang,” katanya.
Dalam masa sama, Guardiola turut mengucapkan tahniah kepada Arsenal serta pengendalinya, Mikel Arteta yang pernah menjadi pembantunya di City sebelum ini.
Guardiola mengakui faktor keletihan menjadi punca pasukannya gagal mengekalkan momentum selepas baru menjuarai Piala FA menerusi kemenangan ke atas Chelsea tiga hari lalu.
“Saya mahu persaingan ditentukan hingga saat akhir, tetapi hari ini keletihan jelas menjejaskan pasukan,” katanya.
Sekiranya Guardiola benar-benar meninggalkan City, ia bakal menutup salah satu era paling gemilang dalam sejarah bola sepak England.
Sejak dilantik pada 2016, Guardiola berjaya menghadiahkan 20 trofi kepada City termasuk enam gelaran EPL dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara.
Bekas pembantu Guardiola, Enzo Maresca dilaporkan antara calon utama untuk mengambil alih jawatan tersebut. – AFP










