Selangor tagih penyudah Moraes benam Buriram

Selangor tagih penyudah Moraes benam Buriram

Selangor mengharapkan Chrigor Moraes untuk merobek gawang Buriram United, malam ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC menagih penyudah tajam penyerang import dari Brazil, Chrigor Moraes dalam memburu bekalan selesa pada aksi final pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/26 menentang Buriram United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Meskipun kekuatan Gergasi Merah tidak hanya bergantung kepada seorang pemain, kapten pasukan, Faisal Halim mengakui ketajaman Moraes di depan pintu gol menjadi faktor penting kejayaan Selangor melangkah ke pentas final kejohanan itu musim ini.

“Jurulatih menekankan kepada pasukan supaya tidak berputus asa kerana perlawanan adalah 90 minit malah dia juga menitikberatkan soal perpaduan dalam pasukan. Jika kami bekerja secara berpasukan, kami mampu mendapatkan keputusan baik.

“Chrigor Moraes adalah penyerang yang mempunyai kualiti luar biasa dan dia juga merupakan salah seorang pemain import terbaik yang pernah dimiliki Selangor. Dia muda, laju dan mempunyai kemampuan penyudah yang cukup baik.

“Dia mampu menjaringkan gol daripada mana-mana sudut. Setiap kali saya menghantar bola kepadanya, saya dapat merasakan peluang itu akan disudahkan dengan jaringan,” kata Faisal.

Selain ditagih untuk menghadirkan keputusan positif buat pasukan, Moraes yang sudah menghasilkan lima gol setakat ini berpeluang untuk muncul penjaring gol terbanyak kejohanan.

Harapan ini bukan sekadar angan-angan kosong kerana Moraes kini berada pada prestasi terbaik termasuk menyumbangkan empat gol ketika menang 4-1 secara agregat ke atas Nam Dinh di separuh akhir.

Daripada statistik terkini, Moraes hanya dipisahkan dua gol dengan pendahulu penjaring terbanyak iaitu Bergson Da Silva (JDT) dan Nguyen Xuan Son (Nam Dinh).

Bintang utama Buriram United, Guilherme Bissoli kini mengumpul enam gol namun kali ini tidak dapat bermain ekoran layangan kad merah pada separuh akhir kedua menentang JDT, 13 Mei lalu.

Buriram United yang hadir sebagai juara bertahan ACC enggan pulang dengan kekecewaan pada aksi pertama di MBPJ dan tekad meraih keputusan positif meskipun beraksi tanpa Bissoli dan Goran Causic yang digantung perlawanan.

“Kehilangan pemain seperti mereka adalah satu kerugian besar buat pasukan yang sebagai satu pasukan, sudah pasti kami akan mencari jalan lain. Secara tidak langsung, ia akan memberikan peluang kepada pemain lain untuk menyerlahkan kemampuan mereka.

“Sudah pasti ia menjadi salah satu kebimbangan tetapi tugas saya adalah menyiapkan pasukan untuk berada pada tahap terbaik. Kami akan bersiap sedia dan akan tingkatkan kualiti pasukan bagi menghadirkan rasa bangga buat penyokong kami,”kata pengendali Buriram, Mark Jackson.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan pertama Kumpulan A, 20 Ogos tahun lalu namun statistik lebih menyerlahkan kualiti dimiliki kelab Thailand itu yang merekodkan 18 gol dalam tujuh perlawanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN