Tengku Zafrul tidak puas hati aksi perseorangan lelaki  

Tengku Zafrul tidak puas hati aksi perseorangan lelaki   

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak berselindung mengakui prestasi perseorangan lelaki negara masih belum mencapai tahap yang diharapkan selepas aksi hambar dipamerkan dalam beberapa kejohanan utama kebelakangan ini.

Tengku Zafrul berkata, kelemahan utama pemain ketika ini bukanlah daripada sudut kemahiran semata-mata, sebaliknya membabitkan aspek disiplin serta kekuatan mental di gelanggang.

Menurut beliau, perkara tersebut akan menjadi antara agenda utama dalam mesyuarat Majlis BAM minggu depan bersama barisan kejurulatihan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, Datuk Seri Lee Chong Wei.

“Kita lihat memang ada sedikit kekecewaan dari segi prestasi perseorangan lelaki berbanding jangkaan ditetapkan.

“Mungkin satu sudutnya ialah disiplin dan keduanya dari segi masa depan. Sebab itu kita akan beri lebih fokus kepada pembangunan perseorangan dari akar umbi,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan dewan Kelab Badminton Ampang Jaya (AJBC).

Tengku Zafrul bagaimanapun menjelaskan BAM tetap menaruh kepercayaan penuh terhadap pasukan kejurulatihan kebangsaan dalam merangka pelan terbaik untuk mengembalikan semula kekuatan perseorangan lelaki negara.

“Kalau lihat di Piala Thomas, pemain kita ada kemahiran dan bakat, tetapi kadang-kadang bila di gelanggang kita perlukan kekuatan mental dan keinginan untuk menang itu perlu diperkukuhkan lagi,” katanya.

Beliau turut memberi bayangan bahawa pembangunan pemain muda dari peringkat akar umbi akan diberi perhatian lebih serius bagi memastikan Malaysia tidak ketandusan pelapis berkualiti pada masa depan.

“Saya ada keyakinan penuh kepada pasukan kejurulatihan kita yang diketuai Chong Wei. Mereka sudah beri beberapa cadangan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat nanti,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pelan Tangkis 2030 masih berada di landasan tepat walaupun skuad negara gagal mencapai sasaran dalam Piala Thomas, dengan fokus utama ketika ini adalah membentuk pasukan lebih mantap dan kompetitif menjelang tahun 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN