Bangkit atau disingkir

Bangkit atau disingkir

Leong Jun Hao
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao di ambang penyingkiran daripada skuad kebangsaan selepas diberi amaran keras oleh Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berhubung masalah disiplin yang semakin membimbangkan.

Chong Wei berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan empat mata dengan pemain ranking ke-25 dunia berkenaan sebaik tamat kempen Piala Thomas di Horsens, Denmark bagi membincangkan masa depan kariernya.

Menurut Chong Wei, Jun Hao dilihat gagal memberikan komitmen penuh ketika latihan selain beberapa kali tidak hadir tanpa alasan kukuh sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kem kebangsaan.

“Selepas Piala Thomas saya sudah bercakap dengan dia dan saya beri amaran terakhir kerana isu disiplin ini sudah lama berlaku.

“Kalau dia ulang lagi, memang tiada peluang lagi untuk dia kekal dalam skuad,” kata Chong Wei.

Bekas pemain nombor satu dunia itu turut mendedahkan pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen sebelum ini pernah mencadangkan supaya Jun Hao digugurkan daripada program kebangsaan susulan masalah sama.

Bagaimanapun, Chong Wei masih memilih untuk membuka ruang terakhir buat bekas juara remaja Asia itu memperbetulkan semula sikap dan fokusnya terhadap latihan.

“Disiplin itu memang dia tidak fokus pada latihan. Kadang-kadang dia tidak datang. Kalau tidak datang sebab kecederaan saya boleh terima.

“Tapi kalau masalah disiplin dan sengaja tidak datang latihan, memang tiada alasan. Saya sudah cakap dengan dia, kalau saya dengar lagi dia tidak datang latihan, dia sendiri angkat beg keluar. Saya tak perlu tulis surat lagi,” katanya.

Prestasi hambar Jun Hao musim ini turut menguatkan lagi tekanan terhadapnya selepas gagal menyerlah dalam Piala Thomas selain beberapa kali tersingkir awal dalam kejohanan individu.

Pemain berusia 27 tahun itu bagaimanapun masih mempunyai peluang terakhir untuk membuktikan kemampuannya apabila dijadual memulakan cabaran dalam Kejohanan Badminton Malaysia Masters yang membuka tirai Selasa ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN