'Ada orang tidak suka, ada pemain jumpa presiden'

‘Ada orang tidak suka, ada pemain jumpa presiden’

Lee Chong Wei
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendekatan tegas yang diperkenalkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei bagi mempertingkatkan tahap disiplin atlet kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), membuat pemain kebangsaan ‘tidak senang duduk’.

Bekas pemenang tiga kali pingat perak Olimpik itu berkata, beberapa pemain kebangsaan kurang berpuas hati dengan pendekatan beliau sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Chong Wei mengakui ada pemain yang bertemu Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadapnya.

“Berkemungkinan kini ramai yang tidak selesa sebab kita ada pengurusan baharu dan banyak perkara yang diperketatkan. Saya tahu beberapa bulan ini amat sukar, ada orang tidak suka, ada yang mengadu dan ada pemain jumpa presiden.

“Presiden tahu apa yang jawatankuasa dan saya lakukan. Semua perkara akan saya juga laporkan kepada presiden,” kata Chong Wei.

Bagaimanapun, tindakan Chong Wei memperkasakan disiplin di ABM sudah mendapat restu dalam usaha memperkasakan semula budaya disiplin dalam skuad kebangsaan.

Menurutnya, untuk berprestasi cemerlang, hanya disiplin yang tinggi dapat membantu pemain biarpun manfaatnya tidak akan dapat dihasilkan dalam masa terdekat.

“Sukan badminton ini perlukan masa dan bukan hanya sehari, dua bulan mahupun setahun akan terus nampak hasil.

“Apa yang penting pemain harus ada disiplin dahulu dan selepas itu keputusan akan datang dalam masa terdekat,” katanya.

BAM ketika ini kembali memperketat beberapa garis panduan dalaman termasuk mewajibkan pemain bujang menetap di ABM dalam usaha memastikan tahap disiplin atlet kebangsaan terus terkawal.

Sebelum ini Chong Wei pernah menjelaskan bahawa peraturan tersebut akan dikuatkuasakan semula bagi membentuk persekitaran lebih profesional dalam kalangan pemain negara.

Malah, kelmarin, Tengku Zafrul turut memberi amaran mana-mana pemain yang gagal mematuhi disiplin serta peraturan ditetapkan berisiko dikenakan tindakan termasuk penggantungan daripada menyertai kejohanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN