PETALING JAYA: Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani perlu melepasi halangan jaguh India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty untuk memburu slot final pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Stadium Nimibutr, Bangkok, Thailand, esok.
Hari ini, gandingan No. 9 dunia itu dipaksa beraksi sehingga ke set penentuan sebelum beroleh kemenangan ke atas wakil Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley 19-21, 21-15, 21-8 dalam masa 50 minit di suku akhir.
Sze Fei-Izzuddin yang tidak memiliki rekod pertemuan dengan pasangan adik beradik itu bergelut dalam set pembukaan sehingga membawa kepada kekalahan mereka.
Mujur, bekas beregu No. 1 dunia itu mampu bangkit dalam set kedua dan seterusnya memaksa permainan dilanjutkan ke set penentuan yang akhirnya berpihak mudah kepada Sze Fei-Izzuddin.
Pada separuh akhir, esok, berdepan pilihan pertama, Rankireddy-Shetty bukanlah lawan yang mudah dan kesilapan sendiri harus dielakkan jika Sze Fei-Izzuddin berhajat memburu gelaran di Thailand.
Dengan rekod pertemuan 2-7 yang tidak berpihak kepada beregu negara itu, Sze Fei-Izzuddin perlu melakukan ‘kerja rumah’ bagi meneliti semula perlawanan lalu yang mengundang kekalahan kepada bekas jaguh No. 1 dunia tersebut.
Kali terakhir Sze Fei-Izzuddin bertembung dengan pasangan No. 4 dunia itu ialah di Terbuka Singapura yang tidak berpihak kepada mereka selepas tewas 17-21, 15-21 di suku akhir pada Mei tahun lalu.
Namun begitu, daripada dua kemenangan yang dicatat Sze Fei-Izzuddin, salah satu daripadanya diraih pada Terbuka India juga pada tahun lepas iaitu dalam bulan Januari menerusi kemenangan 21-18, 21-14 di separuh akhir.
Menjadi wakil tunggal Malaysia di peringkat empat terbaik, memburu kemenangan pada Terbuka Thailand diyakini mampu memberi momentum positif menjelang kejohanan di laman sendiri iaitu Malaysia Masters, minggu depan. – UTUSAN










