KUALA LUMPUR: Satu slot suku akhir beregu lelaki sah menjadi milik Malaysia, selepas dua beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Chia Wei Jie-Teo Ee Yi bertembung sesama sendiri pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil dekat sini, hari ini.
Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking No. 9 dunia menewaskan pasangan Indonesia, Muh Putra Erwiansyah-Bagas Maulana 21-16, 21-14 dalam masa 30 minit di peringkat 32 terbaik.
Kedua-dua beregu yang belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini, telah membuka laluan kepada Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan sebagai pilihan ketiga mendahului 1-0 ke atas Muh Putra-Bagas.
Sze Fei berkata kemenangan tersebut bukan hadir dengan mudah meskipun mereka berjaya mengawal permainan pada set kedua.
“Saya tidak rasa ia satu perlawanan yang mudah kerana mereka banyak menyusahkan kami sepanjang permainan.
“Namun pada set kedua mereka mungkin mula hilang fokus dan itu memberi kelebihan kepada kami untuk mengawal rentak perlawanan,” ujarnya.
Sze Fei mengakui mereka tidak mempunyai banyak masa untuk berehat selepas mengharungi kejohanan di Bangkok minggu lalu, namun keadaan fizikal pasangan tersebut masih berada pada tahap terbaik.
“Saya rasa badan kami tiada masalah dan kami mempunyai banyak masa untuk proses pemulihan.
“Kami juga ada pasukan pemulihan yang bagus untuk membantu memastikan keadaan kami sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.
Wei Jie-Ee Yi pula tidak berdepan masalah untuk membenam beregu ke-46 dunia, Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman dari Kanada 21-18, 21-15 dalam masa 28 minit.
Malaysia Masters merupakan kejohanan kedua disertai Wei Jie-Ee Yi sejak mereka digandingkan bersama selepas membuat penampilan sulung di Terbuka Thailand, minggu lalu.
Memandangkan Wei Jie-Ee Yi merupakan gandingan baharu, tiada rekod pertemuan mereka berdepan Sze Fei-Izzuddin dan di atas kertas pasangan No. 3 negara itu dijangka memiliki kelebihan psikologi jika ranking dunia diambil kira. – UTUSAN










