PETALING JAYA: Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM300 sehektar akan disalurkan bermula hari ini kepada kira-kira 240,000 pesawah di seluruh negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, ia merupakan sebahagian langkah intervensi bersasar berdepan krisis bekalan global, selain Bantuan Budi Madani Diesel sebanyak RM300 sebulan dan bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak.
Beliau berkata, langkah itu penting kerana kos bahan api dan kos operasi pertanian boleh memberi kesan terus kepada rantaian bekalan makanan.
“Program ini turut diperluas ke kawasan desa dan kampung terpilih supaya rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga lima hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, lebih 398,000 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS berdasarkan data MySubsidi setakat 9 April lalu.
“Jumlah ini melibatkan lebih 375,500 kenderaan pengangkutan darat barangan dan sekitar 23,000 kenderaan pengangkutan awam.
“Cadangan penambahbaikan SKDS tersebut adalah mengenai penyelarasan kuota subsidi diesel yang akan dilaksanakan secara seimbang,” katanya.
Menurutnya, usaha tersebut supaya kawalan ketirisan dapat diperkukuh tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan rantaian bekalan.
“MTEN telah bersetuju perkara itu akan disusuli selanjutnya oleh KPDN,” ujarnya. – UTUSAN










