Salah teringin The Reds kembali digeruni

Salah teringin The Reds kembali digeruni

Mohamed Salah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penyerang Liverpool,  Mohamed Salah mahu The Reds kembali menjadi pasukan yang ditakuti lawan selepas prestasi hambar musim ini menjejaskan reputasi kelab itu sebagai kuasa besar bola sepak England.

Kekecewaan Salah memuncak susulan kekalahan 2-4 kepada Aston Villa yang bukan sahaja mengheret Liverpool ke dalam tekanan perebutan slot Liga Juara-Juara Eropah, malah menimbulkan persoalan terhadap identiti sebenar The Reds di bawah kendalian Arne Slot.

Villa kini melonjak ke tangga keempat liga dengan 62 mata daripada 37 perlawanan, memintas Liverpool yang ketinggalan dengan 59 mata.

Bintang kelahiran Mesir berusia 33 tahun itu mengakui sukar menerima hakikat pasukan yang pernah digeruni kerana corak permainan menyerang kini bergelut untuk mengekalkan konsistensi.

“Saya mahu Liverpool kembali menjadi pasukan menyerang yang agresif, digeruni lawan dan sentiasa memburu trofi,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Menurut Salah, kekuatan Liverpool suatu ketika dahulu dibina melalui usaha keras dan keyakinan tinggi dalam pasukan sehingga berjaya mengubah persepsi ramai daripada sebuah pasukan yang diragui kepada pasukan juara.

Kenyataan itu dilihat seakan merujuk kepada era Jürgen Klopp yang membawa Liverpool meraih pelbagai kejayaan termasuk kejuaraan liga dan kejayaan di pentas Eropah.

Malah, hubungan Salah dengan Slot juga terus menjadi perhatian selepas timbul spekulasi ketegangan antara kedua-duanya musim ini, terutama selepas pemain itu mendakwa dirinya diketepikan dalam beberapa perlawanan penting.

Bagi Salah, identiti Liverpool bukan sekadar menang beberapa perlawanan, sebaliknya perlu kembali menampilkan karakter sebenar yang menjadikan kelab itu antara pasukan paling digeruni di Eropah.

Liverpool dijadual menutup kempen liga menentang Brentford dengan misi sekurang-kurangnya mengesahkan tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN