PETALING JAYA: Persaingan merebut slot ke Liga Super semakin menarik membabitkan Kedah, Kelantan Red Warriors (KRW), Perak dan UM Damansara.
Empat pasukan itu dilihat memiliki peluang cerah selepas dua kedudukan teratas Liga A1 Semi Pro dikuasai Johor Darul Ta’zim II (JDT) dan Selangor II yang berstatus feeder kelab.
Bagaimanapun, Ketua Jurulatih KRW, Irfan Bakti Abu Salim menegaskan laluan ke Liga Super hanya boleh dicapai secara merit dan bukan berdasarkan andaian semata-mata.
Menurut Irfan Bakti, fokus utama pasukannya kini adalah mengutip baki mata maksimum dalam baki saingan musim ini bagi mencerahkan peluang ke Liga Super.
“Kita nak naik secara merit. JDT dan Selangor memang sukar dikejar kerana jurang mata terlalu jauh.
“Tapi dengan Kedah dan Perak, kita kena berhati-hati kerana saingan sangat rapat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Irfan, KRW kini berada dalam momentum lebih baik pada pusingan kedua berbanding pusingan pertama musim, apabila pasukan berjaya mengutip lebih banyak mata selepas permulaan yang agak perlahan.
“Pusingan pertama kita enam perlawanan awal tak menang, hanya perlawanan ketujuh baru dapat tiga mata. Tapi pusingan kedua ini kita banyak kutip mata penuh. Itu perkembangan positif,” jelasnya.
Dengan hanya beberapa perlawanan berbaki, KRW kini memberi tumpuan penuh kepada aksi seterusnya menentang Kelantan WTS esok, yang disifatkan sebagai ‘derby’ penting untuk terus menghidupkan peluang ke Liga Super.
Irfan turut menegaskan tiga perlawanan terakhir di laman sendiri menjadi kelebihan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan kutipan mata maksimum.
Saingan Liga A1 Semi Pro kini dilihat menuju kemuncak yang sengit, dengan perbezaan mata kecil antara Kedah, KRW, Perak dan UM Damansara dijangka menjadi penentu siapa yang benar-benar layak melangkah ke Liga Super musim depan.-UTUSAN










