PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Badan Peguam untuk mencabar keputusan Peguam Negara memohon perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Faizah Jamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati permohonan itu bukanlah sesuatu yang remeh atau menyusahkan.
Panel terbabit turut menyatakan bahawa permohonan semakan kehakiman yang difailkan organisasi itu turut menimbulkan isu-isu yang boleh dibicarakan.
“Cabaran Badan Peguam (terhadap) kedudukan Peguam Negara dalam menghentikan pendakwaan terhadap responden kedua (Ahmad Zahid) bukanlah sesuatu yang remeh dan ia membangkitkan isu-isu yang boleh dipertikaikan. Terdapat juga suatu kes yang sesuai, jarang berlaku dan luar biasa yang mewajarkan satu pendengaran semakan kehakiman penuh berdasarkan merit,”katanya.
Pada 4 September 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada lapan pertuduhan rasuah, 12 dakwaan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Ia selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Pada 2 Disember 2023, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman dan memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan, dibatalkan.
Pada 27 Jun 2024, Hakim Datuk Amarjeet Singh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman tersebut atas alasan antaranya permohonan yang difailkan oleh badan itu bukanlah sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah.
Pada tarikh sama, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang berkaitan permohonan mereka ke Mahkamah Persekutuan atas alasan persoalan undang-undang yang ingin diajukan bukanlah persoalan yang sesuai dan tidak memenuhi keperluan asas untuk dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL









